Edited by Vellfire at 19-3-2025 12:43 PM
Lau menyantuni seorang warga emas sambil menyerahkan pakej barangan keperluan bersubsidi dalam Program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI baru-baru ini.
SIBU: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, akan menganjurkan “Program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI” pada Sabtu ini, bagi membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.
Program tersebut akan diadakan di premis Sibu Yu Chiong Foodstuffs Distributors Sdn Bhd, Taman Grand Height dan bermula pada jam 8.30 pagi.
Sebanyak 300 pakej makanan bersubsidi akan dijual pada harga RM25 setiap satu, berbanding harga asal RM36.35, membolehkan pembeli menikmati penjimatan sehingga 30 peratus.
Setiap pakej mengandungi 1 kilogram (kg) gula putih, 1kg minyak masak, mi segera, biskut, telur, kicap, kari ayam dalam tin, jagung dalam tin dan sardin dalam tin.
Selain pakej makanan bersubsidi, orang ramai juga boleh menikmati diskaun khas bagi beberapa barangan lain, termasuk ayam segar, beras putih dan sayur-sayuran.
Menurut kenyataan media Pusat Khidmat Ahli Parlimen itu, inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban kewangan rakyat serta memastikan keperluan asas dapat diperoleh dengan lebih mudah.
"Program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan lebih banyak barang keperluan pada harga yang lebih rendah.
“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada seramai mungkin penduduk di kawasan ini," menurut kenyataan itu.
Orang ramai digalakkan hadir lebih awal bagi mendapatkan pakej jualan kombo ini kerana kuantiti adalah terhad.