Masjid Setia Raja Mukah Tuan Rumah World Quran Hour 2025.
Mukah: Pustaka Negeri Sarawak, Sibu akan menganjurkan program “World Quran Hour” (WQH) 2025 pada 25 Mac ini di Masjid Setiaraja, di sini bermula jam 9 pagi.
Program ini dijangka menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu hari ini, WQH merupakan gerakan global yang menggalakkan umat Islam meluangkan masa untuk membaca, memahami, dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Tahun ini, Surah Al-Saff dipilih sebagai fokus utama kerana mesejnya yang menekankan kepentingan kesatuan umat dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t.
Seperti kapal yang kukuh berlayar di lautan luas, umat Islam perlu bersatu dan saling menyokong bagi menghadapi cabaran perpecahan serta perselisihan," menurut kenyataan itu.
Selain sesi utama pada 25 Mac, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bermula 22 Mac 2025, termasuk Pertandingan Bilal Cilik dan aktiviti STEM yang dikhususkan untuk kanak-kanak.
Bagi golongan dewasa, program ini turut menawarkan Bengkel Seni Khat, Bengkel Pengurusan Jenazah, Ceramah Agama, serta Pertandingan Promosi Video WQH yang bertujuan memperkukuh pemahaman terhadap ajaran Islam melalui pendekatan interaktif.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Masjid Setiaraja Mukah, Perpustakaan Awam Mukah dan Jabatan Agama Islam Mukah bagi memastikan kelancaran penganjuran WQH 2025 di Sarawak.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Puan Fiona Ravia ak Asing dan Puan Shahrieza binti Rabaie di talian 084-315200 (sambungan 221 atau 225).