Johor Bahru: Penduduk Kampung Melayu Majidee di sini, dinasihatkan supaya tidak membuang masa memohon pertukaran status Tanah Rizab Melayu (TRM) daripada pajakan kepada hak milik kekal berikutan ia terikat dengan peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN).
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar mengakui isu tempoh pajakan tanah negeri yang hanya berbaki 28 tahun lagi membimbangkan penduduk di situ, namun mustahil untuk mereka melakukan sebarang pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal.
Beliau berkata, usaha memperjuangkan pertukaran status tanah itu pernah dilakukan pihaknya, tetapi tidak berjaya kerana KTN tidak membenarkan TRM ditukar kepada milikan kekal.
"Ia tidak boleh berlaku kerana apabila kita rujuk semula kepada KTN, ketika itu Datuk Obet Tawil jadi Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, beliau mengatakan kawasan rizab Melayu itu memang tak boleh dijadikan hak milik kekal.
"Jadi saya nasihatkan kepada mereka, tak payahlah buang masa kerana KTN memang tidak membolehkan (pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal), tetapi permohonan lanjutan boleh dibuat mengikut berapa lama dimahukan sama ada 30 tahun, 60 tahun atau 99 tahun, itu pilihan mereka ada," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad (PGB) di sini, hari ini.
Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee kehilangan pajakan tanah perkampungan mereka yang bakal berakhir 2053.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff dilaporkan meminta bantuan pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera.
Perkam juga dilaporkan sudah menghantar petisyen dan permohonan penukaran status tanah kampung itu kepada TRM hak milik kekal kepada Menteri Besar Johor pada 8 September tahun lalu. - HARIAN METRO
|