PROGRAM realiti Akademi Fantasia sudah melabuhkan tirai sejak 10 tahun lalu namun masih ada beberapa perkara kekal misteri sehingga ke hari ini.
Ini termasuklah tentang bagasi (luggage) yang dibawa peserta setiap kali berlakunya penyingkiran.
Ramai tertanya-tanya sama ada beg yang diseret keluar selepas pengacara Datuk Aznil Nawawi mengumumkan peserta tersingkir adalah milik sebenar mereka atau sekadar 'mockup'.
Tampil menjelaskan rasa ingin tahun netizen, penyanyi dan pengacara Nana Mahazan mendedahkan peserta sentiasa membawa bagasi sebenar mereka ketika ke atas pentas.
Nana atau Nurul Hana Che Mahazan, 43, yang merupakan peserta Akademik Fantasia musim pertama (AF1) pada 2003 berkata mereka sentiasa bersedia mengemas beg masing-masing apabila tiba malam persembahan.
“Untuk AF lain saya tak tahu tapi AF1 memang setiap minggu kita kena kemas beg. Memang beg yang diletakkan di atas itu adalah beg pelajar yang tersingkir.
“Cuma saya dengar AF lain mereka letak saja beg siapa-siapa di situ secara 'random' dan ambil beg sebenar selepas itu.
“Tapi AF1 memang setiap minggu kami kena kemas beg dan bawa keluar daripada akademi (tempat tinggal),” jelasnya.
Nana berkongsi perkara itu menerusi TikTok miliknya selepas mendapat pertanyaan daripada pengikutnya berhubung perkara itu.
Mengimbau kenangan itu, Nana memberitahu masuk minggu ketiga pertandingan kebanyakan peserta tidak lagi mengeluarkan pakaian daripada beg agar tidak perlu mengemasnya sebelum konsert.
Tidak hanya itu, peserta yang tersingkir juga tidak akan bertemu sehinggalah pertandingan tamat.
"Masuk minggu ketiga kami sudah tak keluarkan dah baju-baju dalam beg sebab tahu setiap minggu kena kemas beg bawa pergi konsert.
"Dan siapa yang tersingkir itulah beg yang kita ambil, terus keluar memang tak akan jumpa dah kawan-kawan dekat AF itu sampailah program habis," ujarnya.
Nana merupakan salah seorang peserta AF1 yang tersingkir pada minggu ketujuh program itu berlangsung.
Selain Nana, AF1 turut disertai oleh Liza, Sahri, Rosma, Burn, Atie, Adi dan Azza.
Manakala Vince muncul sebagai juara musim pertama manakala Khai (naib juara) dan Aziz (ketiga). - mStar
|