Kuala Lumpur: Pelakon popular, Fattah Amin kecewa apabila filem lakonannya, Kulit Wayang gagal meraih sambutan memberangsangkan sejak ditayangkan 8 Mei lalu.
Fattah berkata, seperti mana-mana pelakon lain, dia mengharapkan karya lakonannya mendapat perhatian dan ditonton orang ramai memandangkan usaha serta komitmen besar dicurahkan sepanjang penggambaran filem itu.
"Sudah tentu ada rasa kecewa sebab kalau boleh kita nak ramai menonton setiap karya yang dibawakan. Kali pertama saya tonton lakonan saya dalam filem ini pun, saya sendiri bersyukur kerana segala penat-lelah dan komitmen yang diberikan berjaya diterjemahkan dengan sebaiknya.
"Watak Tok Dalang yang saya bawakan bukan mudah kerana perlu berdialek Kelantan dan bermain wayang kulit. Tapi saya rasa mungkin penerbit atau pengarah ada strategi tersendiri, mungkin mereka mahu menghantar filem ini ke festival filem, bukan sasarkan kutipan box office," katanya.
Ditanya kenapa filem itu tidak berjaya menambat hati penonton, Fattah berkata, salah satu faktor utama mungkin disebabkan genre serta persepsi awal penonton terhadap tema yang dibawakan.
"Saya rasa mungkin sebab genre. Ramai yang beranggapan filem ini hanya berkisarkan wayang kulit, jadi ada yang skeptikal.
"Selain itu, mungkin ada yang fikir filem ini hanya untuk orang Pantai Timur, tapi sebenarnya bila mereka tonton, kebanyakannya beri pujian dan sedar filem ini bukan untuk orang Kelantan, Pantai Timur atau penggemar wayang kulit semata-mata.
"Kalau cakap soal waktu tayangan, itu bukan keputusan saya. Cuma bila banyak filem tempatan ditayangkan pada bulan yang sama, ia satu persaingan yang sihat sebenarnya.
"Saya sebenarnya gembira bila banyak filem tempatan berada di pawagam kerana kita pernah melalui satu fasa di mana tiada karya baru. Jadi sekarang bila filem tempatan makin rancak, itu satu perkembangan yang sangat baik untuk industri," katanya.
Selain Fattah, filem arahan Dain Said itu turut diterajui Pekin Ibrahim. - HARIAN METRO
|