JAKARTA: Pejabat Peguam Negara (AGO) telah merampas lebih 11.88 trilion rupiah (sekitar SG$936 juta) daripada lima anak syarikat pertanian gergasi, Wilmar Group, yang berpangkalan di Singapura berhubung kes rasuah membabitkan permit eksport minyak sawit mentah (MSM).
Kesemua wang yang dirampas itu adalah daripada syarikat Multimas Nabati Asahan, Multi Nabati Sulawesi, Sinar Alam Permai, Wilmar Bioenergi Indonesia dan Wilmar Nabati Indonesia.
Rampasan itu diumumkan oleh Pengarah Pendakwaan di Unit Jenayah Khas AGO, Encik Sutikno.
Kes itu tertumpu pada dakwaan penyalahgunaan permit eksport semasa larangan 2022 yang dikenakan pemerintah terhadap penghantaran minyak sawit bagi menangani kekurangan minyak masak dalam negara.
Pendakwa raya menuduh syarikat tersebut mengaut keuntungan haram semasa tempoh sekatan.
Di sebalik dakwaan itu, Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat pada Mac telah membebaskan lima syarikat daripada semua pertuduhan.
AGO kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung yang kini masih menjalankan semakan.
Audit oleh Badan Pengawas Kewangan dan Pembangunan (BPKP), bersama dengan kajian berasingan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Gadjah Mada, menganggarkan kerugian negara sebanyak 11.88 trilion rupiah.
Encik Sutikno berkata, lima syarikat itu telah memulangkan jumlah penuh kerugian negara dan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Bank Mandiri di bawah seliaan Unit Jenayah Khas AGO.
“Rampasan itu dibenarkan oleh Mahkamah Daerah Jakarta Pusat,” tambahnya.
AGO telah menahan tiga hakim yang dituduh menerima rasuah sebagai pertukaran untuk membebaskan defendan korporat dalam kes itu.
Syarikat terbabit termasuk Kumpulan Wilmar, Kumpulan Permata Hijau dan Kumpulan Musim Mas.
Hakim Agam Syarif Baharuddin, Ali Muhtarom dan Djuyamto ditahan ekoran keputusan kontroversi pada 19 Mac.
Mahkamah Pencegahan Rasuah mendapati syarikat itu bersalah mengeksport MSM tanpa permit tetapi menganggap tindakan itu bukan jenayah. – Agensi berita.
Maksud satukan tu cantum2 pulau tu ka? Berselerak macam sekarang ni la ia sebesar benua. Aku pernah tengok youtube pilot tu terbang dari Jakarta awal malam, plus transit esok pagi baru sampai Irian Jaya. Kalau fly dari KL macam tu punya lama dah sampai London