Edited by JoyahMengayah at 1-7-2025 02:09 AM
KOTA KINABALU: Kejayaan Konsert Aku Stacy (Menggegar Kota U) di sini, Sabtu lalu, membuktikan Stacy Anam masih relevan selepas hampir dua dekad bergelar anak seni.
Terkenal sebagai penghibur lincah ketika beraksi di pentas, Stacy menyifatkan populariti dikecapinya bukanlah perjalanan mudah dan datang bergolek.
Memilih Sabah sebagai lokasi konsert solo pertamanya, Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 35, menyatakan sudah menjadi impiannya sejak mula bergelar penyanyi mementaskan konsert sulung di negeri kelahiran sendiri.
Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, isteri kepada penyanyi, Akim Ahmad itu memukau hampir 3,000 peminat yang mahu menyaksikan dirinya beraksi secara dekat.
Dengan pentas yang gah dan pencahayaan canggih selayaknya persembahan bertaraf antarabangsa, anak jati Penampang ini mampu membuatkan semua penonton yang hadir tidak berganjak selama hampir tiga jam konsert berlangsung.
Tampil dengan 10 busana, Stacy memberikan elemen terbaik dan selayaknya digelar penghibur.
"Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul 'Stacy' punya konsert.
"Siapa sangka saya bermula daripada bawah, sertai program realiti, keluar sebagai penyanyi dan kini mampu mengadakan konsert sendiri.
"Sebab itulah saya sangat berpuas hati dengan persembahan diberikan dan berharap semua peminat dan penonton terhibur," katanya ketika ditemui media sejurus konsert selesai.
Disambut sorakan gemuruh peminat tegarnya, malam terus membara dengan lagu ikonik Stacy seperti Cakap Ke Tangan, Not For Sale, Gilalah, Bosan dan banyak lagi sehinggalah single terbaharunya, Menyala.
Lebih dramatik pada malam itu apabila Stacy 'terbang' di tengah-tengah dewan ketika mempersembahkan lagu Khayal menjadikan seluruh ruang bergema dengan jeritan keterujaan.
BH
|