Edited by ifanonline at 14-7-2025 07:17 PM
Bokhari Abu Boshir Mohammad dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. – FOTO: NSTP
Tukang cuci didakwa cabul jururawat di dewan bedah14 Julai 2025, 6:13pm
MELAKA: Seorang tukang cuci warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang jururawat, bulan lalu.
Lelaki berkenaan, Bokhari Abu Boshir Mohammad, 30, didakwa di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad.
Mengikut pertuduhan pindaan, dia dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 32 tahun dengan niat mencabul kehormatan mangsa di Dewan Bedah 4, Hospital Melaka pada 9 Jun lalu, kira-kira jam 8.30 malam.
Bokhari didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah.
Wan Abdullah mencadangkan ikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan, sebelum tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung adik-beradik seramai tujuh orang di negara asal dan hanya dia seorang bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetap di Melaka, selain syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Bukit Baru, di sini pada setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Julai ini bagi serahan dokumen.
|