Jerebu: 4 lokasi Negeri Sembilan, Selangor catat IPU tidak sihat
Nurul Hidayah Bahaudin
[email protected]
Keadaan Jerebu di Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI
Kuala Lumpur: Empat lokasi di Selangor dan Negeri Sembilan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Johan Setia, Banting, Port Dickson dan Nilai merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Nilai merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 156, diikuti Johan Setia (155), Port Dickson (153) dan Banting (151).
Semalam, Harian Metro melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Menurutnya, ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu (di Malaysia) yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
Disiarkan pada: Julai 20, 2025 @ 9:43am
|