Utara
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

sfhzuraz Lv.22

Fav
Moderator | Credits 1545436   
Menjelang Belanjawan 2026: Perluas bantuan untuk mahasiswa

28 September 2025 07:10am





Bantuan seperti baucar buku dan diskaun pengangkutan awam masih kurang memberi impak besar kepada kebanyakan pelajar.





GEORGE TOWN – Kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk sewa rumah, makan minum dan pengangkutan dilihat masih membebankan mahasiswa di seluruh negara.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Alka Kaur Sandhu, 24, berkata, bantuan kerajaan sedia ada seperti baucar buku, diskaun pengangkutan awam dan elaun latihan merupakan langkah ke arah yang baik namun masih perlu ditambah baik.


Menurutnya, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti kemudahan pendaftaran tanpa bayaran awal dan Program Siswa Sulung nyata membantu pelajar asnaf, namun bantuan secara keseluruhan wajar diperluas.

“Antara usaha yang boleh dilihat ialah penyelarasan kos makanan serta penerusan harga Rahmah dalam kampus seperti di USM.


“Itu dilihat lebih memberi kesan langsung kepada mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP USM, Muhamad Arif Esa, 25, pula berpandangan, bantuan seperti baucar buku dan diskaun pengangkutan awam masih kurang memberi impak besar kepada kebanyakan pelajar.

“Ramai mahasiswa dalam kampus memilih guna bas percuma, manakala yang menyewa rumah lebih banyak guna bas Rapid yang tambangnya sedia murah. Baucar buku pula baik, tetapi dengan dunia digital kini, buku lebih banyak dalam e-book.

“Mungkin kerajaan boleh panjangkan tempoh penggunaan baucar sehingga satu sidang akademik supaya mahasiswa lebih terancang membeli buku yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, isu elaun latihan industri perlu diberi perhatian serius kerana masih ada pelajar yang tidak menerima sebarang bayaran sepanjang menjalani latihan praktikal.

“Itu antara perkara paling dituntut mahasiswa kerana praktikal menelan kos sara hidup tinggi. Mereka juga ibarat pekerja, hanya kurang pengalaman.

“Itu bukan alasan untuk tidak dibayar,” tegasnya.

Sementara itu bagi Pengerusi Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang Kebangsaan, Muhammad Faizul Nazrul Hamzah berkata, kos sara hidup mahasiswa kini semakin mencabar terutamanya di kawasan bandar besar.

Beliau berkata, perbelanjaan asas seperti sewa rumah, makan minum dan pengangkutan sering mengambil bahagian terbesar daripada bajet bulanan pelajar.

“Bantuan kerajaan sedia ada amat dihargai kerana meringankan beban, namun hakikatnya masih ada ruang penambahbaikan agar sokongan tersebut dapat menampung keperluan semasa yang kian meningkat.

“Mahasiswa berpandangan inisiatif tambahan seperti subsidi makanan di kampus, sokongan perumahan pelajar dan kadar diskaun khas bagi perkhidmatan asas boleh dipertimbang untuk meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya.

Dari sudut pembiayaan pengajian, beliau berkata, kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diiktiraf sebagai langkah penting kerajaan membantu akses pendidikan tinggi namun, timbul kebimbangan terhadap kemampuan graduan membayar balik hutang selepas tamat pengajian.

Justeru katanya, mahasiswa berharap Belanjawan 2026 dapat meneliti penambahbaikan seperti pengurangan kadar faedah atau ujrah, kaedah pembayaran semula secara progresif mengikut tahap pendapatan, galakan bayaran awal melalui insentif diskaun serta skim baharu yang lebih mengambil kira realiti kemampuan graduan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, mahasiswa percaya kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Aspirasi yang disuarakan ini bukan sekadar mengharapkan bantuan sementara tetapi menekankan keperluan membina ekosistem yang menyeluruh dan mampan merangkumi kawalan kos sara hidup, pembiayaan pengajian yang adil, dan sokongan peralihan ke alam pekerjaan supaya setiap pelaburan negara dalam pendidikan tinggi menghasilkan graduan berkualiti dan berdaya saing,” tambahnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/749894/berita/nasional/menjelang-belanjawan-2026-perluas-bantuan-untuk-mahasiswa


79 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch