Latif rangkul emas, pecah rekod dunia
Amirul Fazli Zulkafli
[email protected]
ABDUL Latif meraikan kejayaannya. FOTO FB HANNAH YEOH
Kuala Lumpur: Atlet olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly terus membuktikan dirinya masih berbisa apabila berjaya meraih emas dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, hari ini.
Dalam pertandingan itu, Latif berjaya melakukan lompatan sejauh 7.67 meter (m), sekali gus memastikan emas menjadi miliknya dan lebih manis, itu juga adalah rekod dunia terbaharu selepas memecah rekod sendiri, 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018.
Bukan itu sahaja, atlet kelahiran Perlis itu juga memadam rekod kejohanan milik Ranki Oberoi dari Belanda, 7.39m yang dilakukan di Dubai pada 2019 seawal lompatan pertama, 7.61m.
"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya hari ini kerana berjaya memecahkan dua rekod (rekod kejohanan dan rekod dunia) di New Delhi. Saya ingin mendedikasikan pingat ini kepada isteri dan anak-anak saya.
"Mengimbangi latihan dengan masa untuk isteri serta bayi yang bakal lahir tidak lama lagi, kedua-duanya penting dan kuncinya ialah disiplin," katanya kepada Virtus selepas pertandingan.
Pingat perak diraih oleh Hassan Dawshi dari Arab Saudi yang melakukan lompatan sejauh 7.36m dan Matvei Iakushev dari Rusia pula meraih gangsa, 7.22m.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh cukup berbangga dengan pencapaian Latif itu dan melihat kejayaan itu hasil usaha atlet berkenaan selama ini membuahkan hasil.
"Sejarah dicipta di Kejohanan Para Dunia di New Delhi, Datuk Abdul Latif Romly mengekalkan status legenda dengan lompatan 7.67m dan memecahkan rekod dunia dirinya sendiri di Kejohanan Asia Jakarta 2018 (Sukan Para Asia). Inspirasi sebenar disiplin, fokus dan kegigihan," katanya.
Disiarkan pada: September 28, 2025
@ 4:03pm