RAMZAH DAMBUL
KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi membuktikan keunikan dan kekayaan budayanya melalui penganjuran Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal 2025 anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah Credit Corporation (SCC) dan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI), dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi.
Program yang dianjurkan itu bertujuan mencungkil, mendokumentasikan serta memperkasakan pengetahuan tradisional masyarakat Sabah, yang merangkumi makanan tradisi, perubatan herba, seni dan muzik, adat resam, falsafah hidup serta amalan keselamatan kampung.
Usaha yang dilaksanakan itu sekaligus mengiktiraf kearifan lokal sebagai aset pembangunan komuniti, identiti negeri dan sumber ekonomi baharu terutama bakat anak-anak muda di peringkat sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform dalam melestarikan warisan, malah membuka ruang untuk adaptasi moden yang mampu menjana nilai komersial dan pelancongan.
"Selepas berlangsung di Keningau, Tawau dan Sandakan, kini giliran Zon Kota Marudu yang akan berlangsung pada 27 September ini, yang menjadi lokasi seterusnya bagi pertandingan itu.
"Penyertaan masih dibuka kepada sekolah-sekolah, individu, kumpulan dan komuniti yang berminat untuk mempamerkan daya cipta serta kearifan tradisi mereka," katanya sambil memberitahu selepas Kota Marudu, siri jelajah itu akan diteruskan ke Tuaran pada 4 Oktober depan.
IDS Sabah mengajak masyarakat khususnya di Kota Marudu dan kawasan sekitar untuk menyertai program itu selain hadir menyaksikan pertandingan, sebagai usaha bersama-sama menyokong memartabatkan kearifan lokal sebagai khazanah negeri dan sumber inspirasi pembangunan.
Orang ramai yang ingin mengetahui program itu dengan lebih lanjut, boleh menghubungi Penyelaras Program, Addellyne Christie melalui emel ke [email protected] atau hubungi ke 088-450 500 atau terus ke media sosial IDS SABAH.