Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 893166   



LANCAR: Wan Razly bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan gimik pelancaran Kad Debit Kinabalu Visa.

KOTA KINABALU: AFFIN Group melancarkan Kad Debit Kinabalu Visa yang direka khas berinspirasikan Gunung Kinabalu iaitu simbol warisan dan keindahan semula jadi Sabah, sekali gus mengukuhkan komitmen kumpulan itu terhadap pelan strategik AFFIN Axelerate 2028.
Kad ini diperkenalkan dengan pelbagai ciri praktikal untuk memudahkan urusan perbankan, antaranya pembukaan akaun dengan deposit permulaan sifar, pengecualian yuran tahunan kad debit seumur hidup, integrasi penuh dengan aplikasi mudah alih AffinAlwaysX serta pengeluaran percuma MEPS sehingga empat kali sebulan bergantung kepada baki akaun semasa atau simpanan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kad eksklusif ini hanya ditawarkan kepada individu kelahiran Sabah berdasarkan MyKad bernombor kod “H” atau “12”, pelajar dengan alamat di Sabah serta pemohon yang mempunyai alamat rumah atau pejabat di negeri ini.
Katanya, pengenalan kad debit beridentitikan Sabah itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.



KENANGAN: Wan Razly bersama tetamu jemputan lain merakamkan gambar kenangan bersama selepas pelancaran.

“Kami berbangga memperkenalkan Kad Debit Kinabalu Visa yang bukan sahaja memberi kemudahan kewangan moden tetapi juga memperkukuh hubungan dengan komuniti tempatan melalui nilai budaya dan identiti negeri.

“Pelancaran ini adalah detik bermakna kerana ia dibuat eksklusif untuk rakyat Sabah, sebagai simbol dedikasi, komitmen dan perkongsian kukuh dengan negeri ini.

“Kad ini lebih daripada sekadar alat pembayaran kerana ia juga menjadi penghormatan kepada kekuatan, semangat dan identiti Sabah yang diilhamkan daripada Gunung Kinabalu yang megah, kad ini menjadi simbol kebanggaan untuk semua rakyat negeri ini,” katanya semasa berucap pada pelancaran kad di cawangan ketujuh dan terbaharu AFFIN di cawangan Inanam Sabah.

Cawangan baharu ini dibuka pada Mei lalu dan melambangkan langkah penting dalam usaha kumpulan itu memberikan penyelesaian perbankan berinovasi serta berteraskan identiti tempatan.

Wan Razly berkata, pihaknya menyasarkan jualan sehingga 16,000 kad dalam tempoh enam bulan, dengan 5,000 kad sudah berjaya dipasarkan setakat ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan jualan yang kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang, bergantung kepada momentum pasaran.

“Kini AFFIN mempunyai tujuh cawangan di Sabah dengan tiga di Kota Kinabalu, dua di Tawau serta masing-masing satu di Lahad Datu dan Sandakan dengan mencatatkan jumlah pelanggan melebihi dua juta orang.

“Selain itu, terdapat empat lagi cawangan baharu dalam perancangan dan dalam masa enam bulan, pejabat serantau AFFIN di Sabah juga akan diumumkan,” katanya.

Selain itu katanya, pelancaran ini juga sejajar dengan teras utama strategi AX28 iaitu memperkukuh pengalaman digital menerusi aplikasi AffinAlwaysX yang lebih pintar, selamat dan intuitif.

“AFFIN juga terlibat dalam program kemasyarakatan seperti Kem Santuni MADANI 2025 di Kota Belud bersama 855 penduduk termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Program Bantuan Banjir (Flood Relief Program) yang menawarkan penangguhan bayaran dan penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggan terjejas,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu juga mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan penting Sabah dalam pembangunan Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga Tawau, Sandakan hingga Lahad Datu.

“Dari segi ekonomi, pertumbuhan KDNK negara menurun kepada sekitar empat peratus, namun kita optimis ia boleh berkembang semula sehingga lapan peratus dalam tempoh 12 bulan.

“Insya-Allah, kami akan berkembang sehingga lapan peratus dalam tempoh setahun akan datang.

“Selain perbankan konvensional, AFFIN juga menawarkan perbankan Islam, pelaburan, pelaburan korporat serta perkhidmatan berkaitan keselamatan kewangan,” katanya.

Menurutnya, dalam jenama Generali, kumpulan ini turut menyediakan insurans.

“Dengan semua ini, kami hampir menjadi sebuah bank universal, walaupun belum sepenuhnya.

“Kami berharap dapat menawarkan lebih banyak produk perbankan yang menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pelancaran Kad Debit Kinabalu Visa turut menjadi sebahagian daripada sambutan Jubli Emas AFFIN sempena ulang tahun ke-50 tahun ini bertemakan “Always About You”.

“Sepanjang tahun, pelbagai kempen berorientasikan pelanggan dan program ganjaran dilaksanakan merangkumi produk simpanan, pembiayaan, pengurusan kekayaan serta kerjasama gaya hidup.

“Pencapaian AFFIN turut menyerlah dengan kejayaan disenaraikan dua tahun berturut-turut dalam Fortune Southeast Asia 500, menerima penarafan A3 daripada Moody’s, terbitan bon dolar AS terlebih langgan 3.5 kali serta peningkatan penarafan ESG MSCI daripada “A” kepada “AA” buat kali pertama dalam sejarah kumpulan,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan AFFIN bukan hanya terletak pada asas kewangan, tetapi juga pengalaman bermakna yang dicipta untuk pelanggan.

“Perbankan harus melangkaui transaksi semata-mata. Ia seharusnya membuka peluang, menawarkan keistimewaan dan mencetus inspirasi,” katanya.

Katanya, pemegang kad akan menikmati akses keutamaan kepada pelbagai kempen dan ganjaran khas sepanjang tahun ini.

Untuk maklumat lanjut atau permohonan Kad Debit Kinabalu Visa, orang ramai boleh melayari www.affinalways.com atau mengunjungi mana-mana cawangan AFFIN di seluruh negara.


Sumber : Utusan Borneo
Rate
There are 1 People reward the building owner
55 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch