Malaysiagazatte.com.my
Oleh Norlizah Abas - 1 October 2025

Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong tiba bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025
PUTRAJAYA – Keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong tidak menyangka beliau terpaksa menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul berkata, malah anak guamnya terkejut terhadap keputusan mahkamah tertinggi negara yang mengesahkan sabitan dan hukuman penjara serta dua sebatan yang ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.
Ketika ditemui pihak media di pekarangan Istana Kehakiman di sini, Hisyam berkata, keputusan tersebut turut menghancurkan perasaan isteri dan anak-anaknya yang hadir memberikan sokongan moral terhadap Paul.
“Isteri anak guam masih tidak boleh menerima hakikat Paul dipenjarakan selain mengekalkan pendirian bahawa beliau sama sekali tidak bersalah,” katanya yang hadir bersama peguam-peguam, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.
Ditanya sama ada pembelaan akan memfailkan semakan sabitan dan hukuman, beliau berkata, isu berkenaan perlu dibincangkan dengan Paul terlebih dahulu.
Katanya, satu-satunya langkah yang boleh diambil ialah menggunakan hak berkenaan di bawah undang-undang yang sedia ada.
“Kami menghormati keputusan mahkamah yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, namun pasukan pembelaan perlu mengkaji semula keputusan penghakiman itu dengan teliti.
“Pembelaan juga akan melihat sama ada terdapat merit sebelum kami memfailkan permohonan untuk semakan, jadi kita perlu berbincang dengan keluarganya,” katanya.
Terdahulu, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu menjalani hukuman penjara serta merta dan mengeluarkan perintah komital agar Paul dihantar ke Penjara Kajang.
Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mensabit dan menghukumnya dengan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun di kediamannya di Ipoh pada malam 7 Julai 2019. – MalaysiaGazette