Melaka: Lelaki Bangladesh didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini tadi, kerana mencederakan teman wanita warga Thailand menggunakan tali pinggang dan kerusi akibat berang mangsa sering marah, bulan lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Md Rasal, 41.
Dalam penghakimannya, beliau turut menimbangkan keseluruhan fakta kes, hujah pendakwaan dan pembelaan serta menetapkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika ingkar membayar denda itu.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Md Rasal yang juga seorang pekerja kontrak pembinaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa, Miss Siriphon Aekhiam dengan tali pinggang di rumah sewa mereka di Pangsapuri Plaza Melaka Raya, di sini, pada 25 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes mangsa menghantar khidmat pesanan ringkas kepada rakannya memberitahu dia dipukul hingga cedera teruk dan dikurung oleh tertuduh di rumah berkenaan.
Pengadu kemudian datang ke rumah mangsa namun tidak dapat memasuki rumah yang dikunci oleh tertuduh lalu menghubungi pihak polis.
Tertuduh kemudian ditahan oleh polis dan mangsa dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan akibat kecederaan teruk dialaminya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman maksimum dikenakan kerana tertuduh adalah warga asing yang datang ke negara ini untuk bekerja tapi melakukan jenayah.
"Mangsa dalam kes ini bukan saja dipukul dengan tali pinggang, malah kerusi hingga mengalami kecederaan teruk dan terpaksa dirawat di hospital.
"Walapun masih tinggal bersama seperti dihujahkan peguam, mereka bukan suami isteri," katanya.
Sumber: – Harian Metro