CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 342|Reply: 0

Bell Ngasri sertai himpunan untuk solidariti GSF secara spontan

[Copy link]
Post time 3-10-2025 11:34 PM | Show all posts |Read mode





Kehadiran pelakon Bell Ngasri, 45, menyertai Himpunan Solidariti Freedom Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) semalam berlaku spontan kerana rasa tanggungjawab untuk bersuara dan empati.


Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, berkata dia terpanggil untuk turun padang sebagai tanda solidariti selepas berita penahanan aktivis, termasuk mereka yang dikenalinya dalam industri seni, tersebar luas.


"Saya dapat tahu mengenai aktivis-aktivis ditahan dan terdiri daripada sahabat-sahabat saya yang pernah bekerjasama. Boleh katakan semua yang ada dekat situ adalah kenalan-kenalan saya.


"Saya dapat tahu waktu subuh. Kemudian makin hebat berita yang diuar-uarkan itu, sampai tak boleh nak lelaplah. Jadi, itu yang saya muat naik gambar mereka yang ditahan dan bermulanya dari situlah.


"Saya tak pernah pun sebenarnya sertai perhimpunan begini, tapi entah macam mana tiba-tiba saja saya bawa motor pergi ke masjid KLCC," katanya.


Selepas solat Zuhur dan menjelang Asar, Bell lihat semua orang sudah berhimpun dan dia pun turun berjalan kaki.


Pada mulanya dia tidak tahu-menahu mengenai agenda penyerahan memorandum himpunan itu.


Niat asalnya adalah untuk menunjukkan solidariti kepada mereka yang ditahan, tanpa sebarang perancangan khusus. Perjalanannya ke lokasi himpunan juga berlaku secara spontan.


"Semuanya atas dasar dari hatilah, senang cerita. Pada masa sama, semalam saya ada kekosongan, tak ada apa-apa projek atau penggambaran. Jadi saya ambil peluang ke sana tanpa fikir nak jumpa atau ikut siapa.


"Saya tidak sangka pula akan diberi laluan sehingga ke barisan hadapan. Di sana juga saya berkesempatan bertemu beberapa tokoh terkenal seperti Dr. Maszlee Malik dan pendakwah bebas, Ustaz Amin," katanya.


Menyentuh pasal situasi di Gaza, Bell berasa pengorbanannya hadir ke himpunan itu tidaklah seberapa dibandingkan dengan perjuangan aktivis yang sudah berhari-hari berada di lautan demi menghantar bantuan.


"Setiap kali buka telefon, setiap hari ada saja berita, ada saja video-video berkenaan dengan Gaza, Palestin. Lebih-lebih lagi mengenai kanak-kanak kebuluran dan masyarakat yang tidak ada tempat teduh.


"Tapi yang paling kuat sekali adalah kanak-kanaklah. Saya pun selalu buat kerja untuk kanak-kanak, saya pun ada anak sendiri. Jadi saya terpanggil, saya rasa macam tak bolehlah saya nak duduk diam," katanya.


Baginya, kehadiran itu adalah paling minimum boleh dilakukannya untuk menghargai usaha murni mereka.


Dia bukan fikir hendak serah memorandum atau apa, tidak kerana baginya itu urusan mereka yang lagi dahsyat.


"Saya nak menunjukkan sokongan saya supaya dilepaskan aktivis-aktivis dunia, Malaysia dan rakan-rakan artis yang sama-sama dalam dunia seni ini. Semoga doa yang dipanjatkan peserta himpunan dimakbulkan.


"Begitu juga agar semua tahanan dibebaskan dengan selamat dan peperangan yang berlaku di Gaza dapat dihentikan segera demi kesejahteraan penduduk di sana, terutamanya kanak-kanak," katanya.


Sumber: – Harian Metro
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-11-2025 10:09 PM GMT+8 , Processed in 0.080288 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list