Ahli Parlimen Pasir Gudang tempelak Hamzah berhubung gesaan minta Anwar letak jawatan Hassan (kiri) menempelak gesaan Hamzah yang sebelum ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan, dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen veteran dari PKR menempelak gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan, dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hairan bagaimana kenyataan itu boleh terpacul daripada seorang Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia kerana ia dibuat tidak kena masa dan situasi, lagi-lagi terkait penahanan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Beliau menegaskan sepatutnya Ahli Parlimen Larut itu bersama menyatakan sokongan terhadap usaha Perdana Menteri untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan dalam penjara Israel.
"Saya harap Hamzah selaku Ketua Pembangkang memahami bagaimana cara untuk berdepan dengan negara musuh seperti Israel yang menyerang rakyat Malaysia.
"Prinsipnya mudah. Apabila kita berdepan dengan musuh dari luar negara maka semua pihak dalam Malaysia, baik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu.
"Dalam hal 23 orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel itu, maka nyawa mereka mesti kita selamatkan. Inilah tanggungjawab kerajaan," katanya dalam kenyataan pada akaun Facebook miliknya hari ini.
Pada perhimpunan anjuran parti pembangkang di ibu negara semalam, Hamzah dilapor menggesa Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berhubung dua isu besar, berkaitan RUU PSB dan kunjungan Trump ke negara ini.
Gesaan itu dibuat ketika 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, di tahan dalam penjara rejim Zionis.
Hamzah membidas penggubalan RUU berkenaan serta kekejaman rejim Zionis yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Gaza.
Usai semua rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan tiba di tanah air dalam keadaan selamat, Hassan berkata terpulang kepada Hamzah untuk menyuarakan kelantangan atau mengkritik sekuat-kuatnya bersangkutan isu lain.
Beliau tidak kisah jika Hamzah menyentuh isu seperti kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini atau Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
"Tetapi satu hal yang Ketua Pembangkang perlu akur iaitu dalam keadaan genting, cemas yang menyangkut nyawa 23 rakyat Malaysia di tangan zionis Israel, ternyata Anwar Ibrahim telah lulus dalam ujian itu.
"Rasanya eloklah dan amat tinggi budi pekerti Ketua Pembangkang Malaysia jika beliau sanggup mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia yang telah berjaya membebaskan 23 rakyat kita dari penjara rejim Zionis Israel," katanya.
|