Ibu mentua pemain bola sepak kebangsaan ditahan GOMBAK: Polis menahan ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan kerana disyaki terbabit kegiatan pemalsuan cap pasport, dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Gombak, baru-baru ini.
Wanita berusia 46 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki warga Pakistan dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Sumber berkata, operasi itu dilancarkan hasil maklumat risikan berterusan polis terhadap sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai beroperasi di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum serbuan dijalankan, katanya, polis terlebih dulu menahan seorang lelaki warga Pakistan dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan sindiket itu.
"Hasil maklumat daripada tangkapan awal itu, polis kemudian menyerbu sebuah unit pangsapuri di Gombak dan berjaya menahan suspek wanita bersama tiga lagi warga asing di dalam rumah berkenaan," katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu, katanya, polis turut menemui pelbagai cap rasmi membabitkan beberapa negara termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia, yang dipercayai diguna untuk memalsukan dokumen perjalanan.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Rawang untuk siasatan lanjut, manakala semua barangan yang ditemui itu dirampas bagi membantu siasatan.
Difahamkan, kes disiasat mengikut kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dan imigresen.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Polis mengesahkan empat lelaki warga Pakistan dan seorang wanita tempatan ditahan pada 1 Oktober lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka direman hingga 8 Oktober ini," katanya.
|