Edited by Vellfire at 6-10-2025 08:20 PM
Bergemerlapan dengan cahaya warna-warni, gubahan flora sempena Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025

Abang Johari menekap tangan ke atas skrin sebagai pelancaran Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025 dan e-Penambang di Tebingan Kuching malam semalam. - GambarPenerangan
KUCHING: Langit malam di Tebingan Kuching malam semalam bergemerlapan dengan menampilkan elemen pencahayaan penuh warna-warni serta gabungan gubahan flora sempena Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025.
Tidak cukup dengan itu, kesunyian malam turut dipecahkan dengan dentuman pelbagai jenis bunga api menerangi langit malam bersama sembilan bot penambang berkuasa elektrik (e-Penambang) menyelusuri Sungai Sarawak menggamit ribuan warga kota dan pelancong asing mengunjungi Tebingan Kuching.
Majlis penuh meriah acara yang berlangsung sehingga 8 Oktober ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan terbuka kepada orang awam itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menekan butang pelancaran sistem pencahayaan ikonik bagi Bangunan Ibu Pejabat DBKU Bukit Siol, Tebingan Kuching dan e-Penambang dari Tebingan Kuching di sini.
Festival anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menjadi platform memperkenalkan transformasi visual Kuching sebagai bandar raya pelancongan yang hidup dan berbudaya khususnya melalui pencahayaan kreatif dan hiasan flora yang memperindah landskap malam.
Pencahayaan baharu itu turut menjadi mercu tanda ikonik baharu bandar raya, melambangkan keindahan, keunikan serta semangat pemuliharaan warisan yang terus dipupuk di bawah pentadbiran DBKU.
Festival turut diserikan dengan Pameran Floral Festival yang menampilkan hasil kreativiti para peserta dalam seni hiasan flora tempatan yang secara tidak langsung memberi pengalaman 'hidup dalam taman' kepada orang ramai.
Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman dalam perutusannya berkata, festival itu mencerminkan komitmen DBKU untuk membangunkan sebuahbandar yang indah, selamat dan bersih untuk didiami.
"Melalui festival ini, kami menyasarkan untuk mempamerkan gabungan harmoni cahaya dan flora yang bukan sahaja menyerlahkan persekitaran malah menawarkan pengalaman visual yang menawan untuk pengunjung.
"Ia melambangkan keharmonian antara manusia, alam semula jadi dan warisan budaya yang merupakan asas identiti bandar raya Kuching," katanya.
DBKU yang menonjolkan kreativiti dan kesenian dalam pameran karnival flora menyifatkannya sebagai satu cerminan penuh bakat dan inspirasi dunia gubahan flora oleh bakat tempatan.
"Gabungan cahaya dan flora dijangka mencipta pengalaman unik kepada pengunjung sambil meletakkan Kuching sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” tambahnya.
“Acara ini bertujuan mengukuhkan imej Kuching sebagai bandar raya yang indah, kreatif dan sesuai untuk didiami, selaras dengan aspirasi DBKU untuk memupuk masyarakat yang harmoni dan meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya ini,” katanya.
Antara yang hadir ialah anak Premier Sarawak Dayang Norjihan serta cucu-cucunya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat yang lain.
Bangunan Dewan Undangan Negeri bermandi cahaya di sebalik dentuman bunga api memecah kesunyian malam Ahad. - GambarPenerangan
Sumber : Utusan Borneo
|