Arau: Sukan elektronik atau e-sukan akan dijadikan salah satu daripada cabang sukan di peringkat sekolah di negara ini menerusi pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada masa hadapan.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim al-Amin Saharudin berkata, penerimaan e-sukan dalam kalangan masyarakat dilihat semakin berkembang ditambah penerimaan ibu bapa yang semakin positif melihat anak mereka menceburi sukan berkenaan.
"Walaupun masih ada stigma menyatakan e-sukan adalah suatu sukan yang membuang masa namun penerimaan dalam kalangan ibu bapa dan guru itu sendiri dilihat semakin kuat dan positif seperti di Perlis sendiri.
"Malah, kita pernah menganjurkan program E-Sports School Championship yang disertai lebih 60 buah sekolah peringkat rendah dan menengah dimana guru sendiri tampil menghantar pelajar sebagai wakil sekolah mereka untuk kejohanan ini.
"Perkembangan ini memberi satu gambaran jelas e-sukan ini mempunyai masa depan dan pada waktu ini kita sedang cuba untuk membawa e-sukan ini dipertandingkan di peringkat MSSM namun buat masa ini ia masih lagi dalam perbincangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan E-Sukan Terbuka Perlis 2025, di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini semalam.
Terdahulu, lebih 500 orang daripada seluruh negara menyertai kejohanan tahunan yang diadakan di negeri itu dimana hadiah bernilai RM8,000 menjadi rebutan kepada peserta memenangi pelbagai permainan e-sukan yang disediakan seperti Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile dan E-Football Mobile.
Malah, kejohanan itu juga menjadi medan pemilihan pemain e-sukan untuk skuad e-sukan Perlis yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor tahun hadapan.