Klopp tak tolak kembali ke Liverpool
Oktober 21, 2025 @ 6:07pm

Klopp (kiri) meninggalkan Anfield pada 2024 selepas sembilan tahun penuh kejayaan. Foto AFP
LONDON: Jurgen Klopp mengakui tidak mustahil dia kembali membimbing Liverpool, namun menegaskan ketika ini dia tidak langsung merindui kehidupan sebagai jurulatih.
Bekas pengendali kelahiran Jerman itu meninggalkan Anfield pada 2024 selepas sembilan tahun penuh kejayaan, dengan alasan dirinya sudah kehabisan tenaga.
Kini, Klopp bertugas bersama Red Bull sebagai Ketua Global Bola Sepak.
Meskipun sebelum ini menolak kemungkinan untuk kembali ke dunia kejurulatihan, Klopp mengakui pintu untuk kembali ke Liverpool masih terbuka, sekurang-kurangnya secara teori.
"Saya pernah katakan, saya tidak akan melatih mana-mana pasukan lain di England. Jadi jika saya kembali, itu bermaksud hanya untuk Liverpool," kata Klopp dalam audio siar The Diary of a CEO.
"Jadi ya, secara teori ia mungkin. Tapi saya sangat gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang.
"Saya tidak rindukan melatih pemain, tidak rindukan berdiri di tengah hujan dua atau tiga jam, atau menghadiri sidang media tiga kali seminggu. Saya tidak rindukan semua itu."
Tambah Klopp, selepas lebih 1,000 perlawanan sebagai pengurus, dia kini menikmati masa berehat daripada tekanan bilik persalinan.
"Saya sudah berusia 58 tahun. Dari satu sudut, ia mungkin dianggap tua, tapi dari sudut lain, masih belum terlalu tua. Jadi mungkin beberapa tahun lagi saya boleh buat keputusan.
"Kalau saya perlu buat keputusan hari ini, saya tidak akan melatih lagi. Tapi mujurlah saya tidak perlu lakukannya sekarang, saya biarkan masa tentukan," katanya.
Dalam masa sama, Klopp turut memuji penggantinya di Anfield, Arne Slot, yang menamatkan musim pertamanya dengan penuh gemilang apabila membantu The Reds menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu.
"Kami sering berhubung selepas itu, dia seorang yang hebat. Dia mendapatkan yang terbaik daripada pasukan ini dan mereka menjadi juara dengan cara yang luar biasa," katanya.
Klopp turut menyifatkan Slot bijak apabila tidak melakukan banyak perubahan drastik pada awal pelantikannya, dan menegaskan sebarang perubahan besar memerlukan masa untuk menampakkan hasil.
"Perubahan sentiasa beri kesan dan ia perlukan masa. Jika dia kekalkan pasukan lama, orang akan cakap 'kami perlukan perubahan'.
"Sekarang dia bawa masuk pemain baharu, mereka bagus, tapi mungkin belum serasi sepenuhnya. Perkembangan ambil masa, tiada siapa boleh mempercepatkannya. Semuanya akan baik," katanya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/10/1461666/klopp-tak-tolak-kembali-ke-liverpool