Luar Negara
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 911437   
Berkaitan fitnah yang tersebar meluas dalam talian bahawa Brigitte Macron adalah transjantina



Zoe Sagan (tengah) tiba di mahkamah di Paris, semalam untuk perbicaraan bersama sembilan individu lain yang didakwa atas tuduhan gangguan siber berunsur seksis terhadap Brigitte Macron. — Gambar AFP

PARIS: Sepuluh individu telah dihadapkan ke mahkamah di Paris semalam atas tuduhan gangguan siber berunsur seksis terhadap Brigitte Macron, dalam kes terbaharu yang berkaitan dengan dakwaan tidak berasas mengenai jantina wanita pertama Perancis itu, yang tersebar di dalam dan luar negara.

Perbicaraan ini berlangsung selepas Brigitte dan Presiden Emmanuel Macron memfailkan saman fitnah di Amerika Syarikat pada akhir Julai, berhubung khabar angin yang diperbesarkan dan diulang dalam talian bahawa Brigitte Macron dilahirkan sebagai lelaki.

Dakwaan tanpa bukti itu telah lama menyasarkan pasangan presiden tersebut, selain kritikan terhadap jurang usia mereka yang berbeza 24 tahun.

Brigitte Macron tidak hadir ketika perbicaraan dibuka di mahkamah jenayah Paris melibatkan 10 defendan — lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 41 hingga 60 tahun — yang didakwa melakukan gangguan siber terhadap beliau.

Jika disabitkan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mereka dituduh membuat pelbagai komen jahat mengenai jantina dan seksualiti Brigitte Macron, malah ada yang menyamakan perbezaan usia beliau dengan suaminya sebagai “pedofilia”, menurut pendakwa raya.

Brigitte Macron telah membuat aduan rasmi pada Ogos 2024, yang membawa kepada siasatan terhadap gangguan siber dan penahanan suspek pada Disember 2024 dan Februari 2025.

Peguam beliau tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan AFP.

Antara defendan ialah Aurelien Poirson-Atlan, 41 tahun, seorang publisiti yang dikenali di media sosial sebagai “Zoe Sagan” dan sering dikaitkan dengan kelompok teori konspirasi.

Tertuduh lain termasuk seorang wanita yang pernah menjadi subjek saman fitnah oleh Brigitte Macron pada 2022: Delphine J., 51 tahun, seorang pengamal spiritual yang menggunakan nama samaran Amandine Roy.

Pada tahun 2021, beliau menyiarkan temu bual selama empat jam bersama wartawan bebas Natacha Rey di saluran YouTube miliknya, mendakwa bahawa Brigitte Macron, yang nama keluarganya ialah Trogneux, pernah menjadi seorang lelaki bernama Jean-Michel Trogneux — nama abangnya.

Kedua-dua wanita itu telah diperintahkan membayar ganti rugi kepada Brigitte Macron dan abangnya pada 2024, sebelum sabitan tersebut dibatalkan melalui rayuan. Wanita Pertama Perancis itu kini membawa kes tersebut ke mahkamah rayuan tertinggi negara.

Dakwaan itu mula muncul seawal pemilihan Emmanuel Macron pada 2017, dan telah diperbesarkan oleh kelompok pelampau kanan dan teori konspirasi di Perancis serta Amerika Syarikat, di mana isu hak transjantina menjadi topik hangat dalam perdebatan budaya.

Pasangan presiden itu telah memfailkan saman fitnah di AS pada Julai terhadap podcaster konservatif Candace Owens, yang menerbitkan siri bertajuk “Becoming Brigitte”, mendakwa beliau dilahirkan sebagai lelaki.

Menurut peguam mereka di AS, pasangan itu merancang untuk mengemukakan bukti “saintifik” dan foto bagi membuktikan bahawa wanita pertama Perancis itu bukan transjantina.

Beberapa individu yang akan dibicarakan di Paris turut berkongsi hantaran daripada pempengaruh media sosial AS tersebut.

Dalam satu kes, seorang defendan berkongsi dakwaan bahawa “2,000 orang” bersedia untuk pergi “dari pintu ke pintu di Amiens (kampung halaman pasangan presiden) untuk menyiasat isu Brigitte”.

Wanita berprofil tinggi lain dalam arena politik, termasuk bekas wanita pertama AS Michelle Obama, bekas naib presiden Kamala Harris dan bekas perdana menteri New Zealand Jacinda Ardern, turut menjadi sasaran maklumat palsu mengenai jantina atau seksualiti mereka.


Sumber : Utusan Borneo
227 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch