Sukan & e-sport
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

sfhzuraz Lv.22

Fav
Moderator | Credits 1572027   
DATUK Pandelela Rinong-Lee Yiat Qing pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini. ISKANDAR ISHAK





Pertaruhan saat akhir berbaloi, Pandelela raih emas



  • Oleh AIZATIE NAJMIN SULAIMAN
  • 2 November 2025, 7:00 pm




KUALA LUMPUR – Langkah berani ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menukar darjah kesukaran terjunan terakhir akibat kecederaan ternyata berbaloi apabila tetap menghadiahkan pingat emas acara 10 meter (10m) platform seirama wanita pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2025, sebentar tadi.

Bergandingan dengan Lee Yiat Qing, pasangan berpengalaman itu mengumpul 270.27 mata bagi menewaskan rakan senegara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar dan Nurul Farisya Affendi yang membawa pulang perak.

Menurut Pandelela, mereka tidak meletakkan jangkaan tinggi menjelang kejohanan itu, sebaliknya hanya mahu menamatkan saingan dengan persembahan terbaik.

“Ada sebab kami tukar darjah kesukaran. Kalau tidak kami buat darjah yang tinggi, namun disebabkan kecederaan saya kami tukar terjunan yang lebih mudah.

“Saya bersyukur semua berjalan dengan lancar hari ini,” kata Pandelela kepada pemberita selepas aksi terjunan di sini, sebentar tadi.


Bagaimanapun, Pandelela mengakui kecederaan yang dialaminya menyebabkan mereka terpaksa menukar terjunan dengan tahap kesukaran lebih rendah.

“Saya masih belum cergas 100 peratus, tapi yang penting saya dapat habiskan kejohanan dengan selamat dan tenang,” katanya.

Mengulas hala tuju musim depan, atlet berusia 32 tahun itu berkata tumpuan kini beralih ke Sukan Asia 2026, selain mengekalkan gandingan dengan Yiat Qing.

Dalam perkembangan sama, gandingan berpengalaman, Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying terus mengekalkan dominasi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita apabila mempertahankan kejuaraan dengan kutipan 239.34 mata.

Pasangan muda Uzlifatil Jannah Ashraf-Teng Hui Xue pula tampil cemerlang untuk meraih pingat perak, manakala Leung Ka Sin-Angel Wang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 201.69 mata. KOSMO! ONLINE

https://www.kosmo.com.my/2025/11/02/pertaruhan-saat-akhir-berbaloi-pandelela-raih-emas/



Rate
There are 1 People reward the building owner
179 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch