Muncul sebagai calon paling senior dalam Top 10 Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37, pelakon legenda, Susan Lankester, 63, menyerahkan sepenuhnya nasib kepada peminat.
Susan yang sudah lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia lakonan mengakui tidak menjangka namanya tersenarai dalam pencalonan anugerah berprestij itu kerana menyangka ia hanya memberi ruang kepada artis muda.
"Saya sangkakan ABPBH hanya untuk artis muda, jadi apabila nama saya dicalonkan, memang saya terkejut.
"Saya tak ada kelab peminat, jadi saya serahkan semuanya kepada mereka yang mahu mengundi. Dapat berada dalam Top 10 pun sudah satu pengiktirafan buat saya," katanya kepada BH Online.
Menurut Susan, dia tidak pernah gemar merayu undi atau memaksa peminat kerana berpendapat penghargaan sebenar datang daripada keikhlasan penonton.
"Saya malu nak merayu peminat supaya mengundi. Kalau menang, itu sesuatu yang menakjubkan. Kalau tidak pun, tak mengapa.
Cuma saya terkejut bila tengok calon lain semua muda-muda… saya pun tertanya, apa yang saya buat di situ?" katanya.
Pesaing Susan dalam kategori berkenaan ialah Nabila Huda, Nur Fazura, Sweet Qismina, Emma Maembong, Sophia Albarakbah, Azira Shafinaz, Shiqin Kamal, Isyariana dan Mimi Lana.
Berkongsi perkembangan terbaharu, Susan bakal tampil dalam filem berbahasa Tamil berjudul Macai arahan Sun-J Perumal, pengarah yang pernah merangkul trofi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 menerusi Jagat.
Filem berkenaan akan menemui penonton di pawagam mulai hari ini.
Susan berkata, walaupun wataknya kecil dan tidak mempunyai dialog kerana membawakan karakter bisu, peluang bekerjasama dengan Sun-J Perumal dianggap pengalaman berharga.
"Saya sudah lama meminati hasil kerja Sun-J. Cara dia berfikir dan sinematografi filemnya bagi saya sangat kreatif dan penuh visi.
"Sebagai pelakon Malaysia, saya mahu mencuba pelbagai jenis filem, bukan hanya filem Melayu. Kita semua perlu saling menyokong kerana cerita yang dibawa menggambarkan realiti masyarakat Malaysia," katanya.
Susan turut memuji kecekapan pengarah itu dalam memaparkan suasana sebenar di sekitar Jalan Alor dan Pudu, yang digambarkan dengan begitu realistik dan indah di layar perak.
Pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura dan FFM Ke-33 itu turut mengakui, gelaran yang disandang membawa cabaran tersendiri.
"Selepas menang anugerah, saya tak boleh lagi terima watak sebarangan. Tapi dalam masa sama, penerbit pula mula bimbang saya jadi 'demanding'.
"Ada yang kata bayaran saya mesti mahal sebab sudah menang anugerah," ujarnya.
Namun, Susan mengakui sudah tiba masanya untuk menilai semula nilai kerja seninya.
"Kalau bukan sekarang saya nak naikkan harga, bila lagi? Dari dulu bayaran tak pernah berubah. Saya pun kena fikir untuk terus hidup dalam industri.
"Mungkin lepas ini saya akan cuba hasilkan projek sendiri atau buat usaha sama, kita tengoklah nanti," kata pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Mekanik ini.
Sumber - BH