PESERTA Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 maut selepas terbabit kemalangan dengan seorang lagi peserta dan sebuah kereta di Kilometer 1.5 Jalan Pasir Besar- Palong, pagi semalam. FOTO Ihsan pembaca
Tampin: Tidak sempat menyertai perhimpunan pemilik motosikal Yamaha RXZ apabila seorang peserta maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 1.5, Jalan Pasir Besar- Palong, di sini.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, mangsa yang mahu menyertai himpunan Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 maut selepas terbabit kemalangan dengan seorang lagi peserta dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, mangsa dikatakan terlanggar rakannya yang berada di hadapan.
"Kemalangan membabitkan dua motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang dua lelaki masing-masing berumur 39 tahun dan 34 tahun dengan sebuah kereta Perodua Alza.
"Kereta berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun bersama lima penumpang," katanya tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua penunggang motosikal dalam perjalanan dari Paka, Terengganu menghala ke Melaka.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, salah seorang daripada penunggang motosikal yang berada di hadapan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Motosikal itu berlanggar dengan Perodua Alza. Pada masa sama, mangsa yang berada di belakang tidak sempat untuk mengelak.
"Mangsa kemudian melanggar motosikal yang berada di laluannya sehingga menyebabkan penunggang itu jatuh di atas jalan," katanya.
Menurutnya, penunggang Yamaha RXZ hadapan mengalami kecederaan parah pada bahagian punggung.
"Manakala penunggang Yamaha RXZ yang berada di belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Tampin untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.