Kota Tinggi: Sekurang-kurangnya 15 kubur di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha di sini rosak akibat dilanggar sekumpulan lembu, malam kelmarin.
Penggali kubur yang hanya mahu dikenali sebagai Hussien berkata, kejadian tersebut berlaku jam 12 tengah malam dan hanya disedari keesokan harinya.
Katanya, sebelum ini kawasan tanah perkuburan yang menempatkan lebih 1,500 kubur itu pernah dimasuki gajah, namun tidak membabitkan kerosakan.
"Kawasan wakaf tanah perkuburan ini seluas 5.26 hektar dan tidak berpagar. Tahun lalu terdapat gajah masuk ke kawasan perkuburan ini tetapi hanya memakan pokok kelapa yang berada di sekitar tanah perkuburan.
"Berdasarkan kerosakan saya rasa sekitar 20 ekor lembu memasuki tanah perkuburan ini, mungkin tali yang mengikat lembu terbelit di batu nisan yang menyebabkannya ia tercabut keluar.
"Kerosakan kepok dan batu nisan tercabut tidaklah teruk seperti digambarkan dalam media sosial.
"Malah tuan kepada sekumpulan lembu juga telah menyelesaikan isu terbabit dan bertanggungjawab menghubungi pihak waris untuk membaiki kubur yang rosak," katanya.
Menurut Hussien, sebelum ini pernah juga lembu memasuki kawasan perkuburan dan ia diselesaikan menerusi gotong-royong penggali kubur.
"Sebelum ini tidak pernah viral isu ini dan diselesaikan dengan berhemah. Terkejut juga apabila isu ini viral di media sosial.
"Saya cuma berharap ada peruntukan dapat diberikan untuk membangunkan pagar di sekeliling kawasan perkuburan ini, bagi mengelak perkara sama berulang," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar kubur yang rosak dengan batu nisan tercabut akibat dilanggar sekumpulan lembu.