CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 291|Reply: 0

[Dunia] Reaksi dua darjat

[Copy link]
Post time 17-12-2025 11:14 AM | Show all posts |Read mode

Orang ramai berkumpul di Bondi Pavilion bagi memberi penghormatan kepada mangsa insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney, Australia. Foto AFP


INSIDEN serangan berdarah di Pantai Bondi, Sydney, Australia pada Ahad mencetuskan gelombang reaksi pantas daripada pemimpin dan masyarakat dunia pada umumnya.

Ucapan takziah, kecaman keras dan solidariti antarabangsa disampaikan dalam tempoh hanya beberapa jam selepas berlakunya insiden berkenaan.

Media global rata-ratanya memberi liputan meluas, menonjolkan kisah mangsa dan keberanian orang awam yang bertindak menyelamatkan nyawa.

Keprihatinan ini mencerminkan keupayaan dunia untuk bertindak segera apabila keganasan berlaku di negara blok Barat.

Fenomena sama dapat dilihat dalam beberapa insiden lain di Barat sebelum ini. Serangan pengganas di Paris (2015) menyaksikan menara Eiffel disinari warna bendera Perancis sebagai simbol solidariti dunia.

Serangan di Manchester Arena (2017), London Bridge, serta penembakan rambang di Amerika Syarikat seperti di Las Vegas dan Texas pula mencetuskan kecaman global serta perbincangan segera hingga di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Insiden serangan di Brussels, Nice dan Vienna juga menerima liputan antarabangsa berterusan serta tekanan politik segera untuk meningkatkan keselamatan global.

Namun, reaksi pantas dan bersatu ini berbeza sama sekali dengan sikap dunia terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlarutan di Gaza.

Setiap hari, penduduk awam Palestin dibom, dibunuh dan dipaksa meninggalkan rumah mereka. Hospital, sekolah dan pusat perlindungan musnah, manakala sekatan bantuan kemanusiaan menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Ribuan kanak-kanak terbunuh, jutaan lagi kehilangan masa depan — namun dunia gagal menunjukkan tahap keprihatinan yang sama.

Perbezaan ini menonjolkan reaksi dua darjat dalam sistem antarabangsa. Keganasan di Barat dilabel sebagai ancaman global yang menuntut tindakan segera, manakala keganasan berterusan terhadap rakyat Gaza sering dibingkaikan sebagai 'konflik kompleks' atau 'isu keselamatan'.

Bahasa diplomatik yang berhati-hati digunakan untuk mengelak kecaman tegas, walaupun korban awam terus meningkat.

Dari sudut fakta, penderitaan di Gaza jauh lebih meluas dan sistemik berbanding insiden terpencil di Barat. Infrastruktur asas dimusnahkan secara menyeluruh, sistem kesihatan lumpuh, dan risiko kebuluran semakin memburuk.

Pertubuhan antarabangsa berkali-kali mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan krisis kemanusiaan terburuk abad ini, namun gesaan gencatan senjata sering terhalang oleh kepentingan geopolitik kuasa besar yang dikuasai Barat dan sekutunya.

Peranan media global turut menyumbang kepada jurang ini. Insiden di Barat dilaporkan dengan pendekatan kemanusiaan, emosi dan berfokuskan mangsa individu, manakala kematian rakyat Gaza sering disampaikan dalam bentuk angka statistik tanpa wajah.

Naratif ini secara tidak langsung menormalisasikan penderitaan satu pihak dan memanusiakan sepenuhnya pihak yang lain.





Akhirnya, perbezaan reaksi dunia terhadap tragedi di Barat dan penderitaan di Gaza bukan sekadar isu liputan media atau keutamaan diplomatik, tetapi mencerminkan krisis moral global yang semakin ketara.

Apabila nilai kemanusiaan diukur berdasarkan lokasi, kuasa politik dan kepentingan strategik, prinsip keadilan sejagat menjadi kosong makna. Dunia seolah-olah pantas bersatu apabila keganasan menyentuh negara maju, namun berbelah bahagi dan berhujah panjang apabila mangsa datang daripada wilayah yang lama terpinggir seperti Gaza.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2026 09:38 PM GMT+8 , Processed in 0.954109 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list