SJKC Chung Hua Tudan johan VIA Safe Mobility 2025, bawa pulang EUR5,000
Januari 13, 2026, Selasa - 5:18pm
Pasukan Safety Squad dari SJKC Chung Hua Tudan di Miri, menunjukkan piala dan sijil kemenangan yang diperolehi sekali gus membawa pulang wang tunai EUR5,000.
MIRI: Pasukan Safety Squad dari SJKC Chung Hua Tudan di sini, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara kebangsaan program VIA Safe Mobility 2025, sekali gus melayakkan sekolah itu menerima geran bernilai EUR5,000 daripada TotalEnergies bagi merealisasikan inisiatif keselamatan jalan raya di persekitaran sekolah.
Kejayaan tersebut diumumkan pada program VIA Safe Mobility di Petaling Jaya pada 8 Januari lalu anjuran TotalEnergies dengan kerjasama Arus Academy, yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya di Malaysia.
Pengarah Jualan TotalEnergies Marketing Malaysia Patricia Law berkata, keselamatan merupakan nilai teras syarikat itu khususnya dalam komuniti tempat mereka beroperasi dan program VIA Safe Mobility menjadi platform penting untuk melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan serta amalan mobiliti yang selamat.
Sementara itu, Pengasas Bersama Arus Academy David Chak berkata, kejayaan pasukan Safety Squad membuktikan keberkesanan pembelajaran autentik yang memberi peluang kepada murid menyelesaikan masalah sebenar melalui pemikiran kritis dan kerjasama berpasukan.
SJKC Chung Hua Tudan yang mempunyai lebih 1,200 murid, terletak berhampiran Jalan Bypass Kuala Baram, merupakan antara lima lokasi panas kemalangan di Miri, sekali gus mendedahkan murid kepada risiko keselamatan setiap hari.
Menyedari situasi tersebut, pasukan Safety Squad yang terdiri daripada 10 murid, dengan bimbingan guru, melaksanakan audit pemerhatian di kawasan menurunkan penumpang dan zon pejalan kaki sekitar sekolah bagi menilai aliran trafik ketika waktu puncak.
Antara cadangan utama yang dikemukakan ialah pembinaan lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah, selain mengenal pasti risiko tingkah laku seperti tahap kesedaran keselamatan yang rendah serta penggunaan topi keledar yang usang atau rosak dalam kalangan murid Tahun 1 hingga Tahun 3.
Sebagai susulan, pasukan itu mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi pembinaan lintasan zebra, selain melancarkan kempen keselamatan bertemakan 'See + Go = Safe. Helmet On, Worries Gone' yang melibatkan lebih 1,200 murid melalui Kem Mobiliti Selamat VIA, pertandingan melukis dan perhimpunan keselamatan jalan raya interaktif.
Kempen tersebut turut diperluaskan kepada komuniti menerusi penganjuran Karnival Keselamatan Jalan Raya, program Walk for Safe Mobility di Taman Bulatan Miri serta sesi perkongsian rakan sebaya di SMK Pujut Miri yang melibatkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah menengah.
Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila MCC kini menjalankan penilaian teknikal bagi pembinaan lintasan pejalan kaki khas di hadapan sekolah berkenaan, dengan kerja-kerja pengukuran tapak awal telah pun dilaksanakan oleh jurutera berkaitan.
Selain kejayaan di peringkat kebangsaan, pasukan Safety Squad turut mewakili Malaysia di peringkat akhir antarabangsa serantau VIA Safe Mobility bersama juara dari India, Iraq dan Romania, melibatkan penyertaan dari 24 negara di seluruh dunia.
Utusan Borneo