STB perkukuh misi perdagangan strategik di Vietnam
Januari 14, 2026, Rabu - 3:16pm
SEMINAR: Delegasi Sabah merakamkan kenangan bersama sempena Seminar Sabah dan Sesi B2B di Vietnam baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berjaya menamatkan misi perdagangan strategiknya ke Vietnam dengan penganjuran Seminar Sabah dan Sesi B2B di Hotel Sheraton Saigon Grand Opera, Ho Chi Minh City, pada 12 Januari lepas.
Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Sabah Enhanced Travel Innovation Association (SETIA) dan Tourism Malaysia melibatkan 20 orang delegasi Sabah termasuk 16 ejen pelancongan.
Seminar dan sesi B2B itu berfungsi sebagai platform jaringan yang melibatkan para delegasi dalam perbincangan perniagaan secara 'tabletop' bersama rakan industri pelancongan terkemuka dari Ho Chi Minh City.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit berkata, seramai 65 pembeli yang mewakili ejen tempatan Vietnam menghadiri acara itu.
Katanya, sambutan memberangsangkan itu sekali gus mencerminkan minat positif dalam memasarkan Sabah kepada pelancong Vietnam.
Menurutnya, misi berkenaan turut mengetengahkan mengenai penerbangan terus AirAsia dari Ho Chi Minh City ke Kota Kinabalu, yang memanfaatkan kesalinghubungan secara lancar dan memendekkan masa perjalanan kepada hanya lebih dua jam.
"Vietnam adalah pasaran baharu yang penting bagi kami. Melalui penglibatan pemain industri, kami komited untuk meluaskan rangkaian serta membina kerjasama jangka panjang dengan rakan perdagangan Vietnam.
"Inisiatif bersasar ini bertujuan membuka peluang pertumbuhan baharu dan memupuk perkongsian bernilai tinggi antara pakar pelancongan Sabah dan pasaran pelancongan keluar Vietnam yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan di sini.
BINCANG: Sesi B2B yang dianjurkan STB memperkenalkan destinasi pelancongan menarik di Sabah kepada ejen pelancongan Vietnam.
Beliau berkata, Sabah turut merancang lebih awal bagi mercu tanda utama pelancongan iaitu Tahun Melawat Sabah 2027 seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, ia dilaksanakan di bawah penjenamaan baharu, 'Explore Sabah-Naturally Inspiring, Beyond Ordinary', dengan menampilkan Sabah sebagai destinasi global utama bagi budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.
"Dengan pengenalan terkini 10 World’s Best in Sabah, Sabah terus mengukuhkan tarikan berasaskan alam semula jadi bertaraf dunia dan aktiviti pengembaraan.
"Ia termasuk pendakian ikonik Gunung Kinabalu sebagai pengalaman 'bucket-list' bertaraf tinggi bagi pencinta pengembaraan dari Vietnam. Selain itu, lima lagi puncak tertinggi Malaysia yang terletak di Sabah wajar diberikan pengiktirafan.
"Selain tarikan pergunungan, aktiviti menyelam kekal sebagai daya tarikan utama yang membawa penyelam untuk meneroka biodiversiti marin di perairan sekitar Kepulauan Semporna dan Taman Marin Tunku Abdul Rahman, yang terletak berhampiran bandaraya Kota Kinabalu," jelasnya.
Katanya, hidupan liar ikonik Borneo seperti orang utan, gajah Borneo dan beruang matahari turut menarik perhatian pengunjung.
Beliau berkata, pengalaman pengunjung ke negeri ini dilengkapi dengan kekayaan warisan budaya Sabah, dengan lebih 30 kumpulan etnik membentuk naratif tradisi Borneo yang unik.
"STB kekal komited terhadap pembangunan pelancongan mampan bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan bertanggungjawab.
"Pengendali pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) turut mendapat sokongan berterusannya STB sebagai tonggak pembangunan inklusif.
"Baru-baru ini, lima pengendali CoBT Sabah menerima pengiktirafan peringkat kebangsaan di bawah Piawaian Pelancongan ASEAN, sekali gus menetapkan penanda aras kepada pengendali CoBT lain di rantau ini," katanya.
Menurutnya, dengan gabungan tarikan alam semula jadi, pengembaraan dan pengalaman budaya, Sabah bersedia mengalu-alukan pelancong Vietnam yang mencari pengalaman perjalanan unik di Borneo.
Sumber :
Utusan Borneo
15-1-2026 08:12 AM Vellfire