Kompleks ICQS Sg Tujoh beroperasi sebelum TBC
Januari 14, 2026, Rabu - 4:15pm
Projek naik taraf kini capai 88 peratus siap dan dijangka mulai beroperasi seminggu sebelum TBC
Lee bercakap kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Kompleks ICQS Sungai Tujoh hari ini.
MIRI: Projek naik taraf di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh kini mencapai 88 peratus siap dan dijangka mulai beroperasi seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurut Lee, projek yang melibatkan pembinaan empat lorong trafik tambahan, penambahan kaunter imigresen dan kastam serta kemudahan tandas awam itu bertujuan mengurangkan kesesakan kronik di pintu sempadan sibuk berkenaan, khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menerima banyak aduan daripada para pelancong yang melalui Sungai Tujoh, terutama ketika musim perayaan, di mana masa menunggu boleh mencecah tiga hingga lima jam,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke tapak projek itu di Kompleks ICQS Sungai Tujoh, hari ini.
Lee (dua kanan) ketika meninjau kerja-kerja menaik taraf Kompleks ICQS Sungai Tujoh di Miri, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak dengan kelulusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM4 juta bagi projek tersebut untuk menambah baik aliran trafik di pintu sempadan itu.
Lee menjelaskan, projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada Disember lalu namun mengalami kelewatan ekoran keadaan cuaca buruk serta pindaan kecil reka bentuk, sekali gus menyebabkan lanjutan tempoh pelaksanaan.
“Bagaimanapun, kami telah menegaskan bahawa projek ini mesti disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina kerana kesesakan trafik dijangka bertambah dengan peningkatan pergerakan sempena musim perayaan,” katanya sambil menambah bahawa kontraktor telah memberi jaminan tarikh siap akan dipatuhi.
Apabila siap kelak katanya, aliran trafik akan disusun semula dengan pengasingan kaunter bagi kenderaan berdaftar Malaysia dan kenderaan asing, termasuk dari Brunei.
“Empat kaunter baharu akan dikhususkan untuk kenderaan Malaysia.
"Pada masa ini, kenderaan Malaysia dan Brunei diproses bersama dan memandangkan pelepasan kenderaan Malaysia biasanya lebih cepat, mereka sering terperangkap di belakang barisan yang lebih perlahan,” jelasnya.
Pengasingan aliran trafik itu katanya, akan banyak membantu mengurangkan kesesakan di ICQS Sungai Tujoh.
Lee menegaskan, walaupun kerja naik taraf semasa mampu memberi kelegaan segera, ia hanyalah langkah sementara dan penambahbaikan menyeluruh terhadap ICQS Sungai Tujuh diperlukan dalam jangka panjang.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar memberi keutamaan kepada pembangunan semula sepenuhnya kompleks itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, termasuk kemungkinan pembinaan terminal baharu di lokasi berhampiran bagi menampung peningkatan jumlah trafik.
“Sungai Tujoh merupakan pintu sempadan yang sangat penting dengan Brunei.
"Dalam jangka panjang, kita juga perlu meneliti penyelesaian perjalanan yang lebih lancar seperti sistem elektronik atau teknologi pengecaman wajah, sebagaimana yang digunakan di sempadan Johor-Singapura,” tambahnya.
Sementara itu, Lee turut menggesa Telekom Malaysia (TM) supaya menambah baik liputan Internet di sekitar kawasan ICQS bagi memastikan operasi berjalan lebih lancar.
“Liputan di sini sangat perlahan dan sering jeda.
"Keadaan ini melambatkan proses operasi dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa TM agar memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan tahap sambungan serta perkhidmatan di kawasan berkenaan.
Sumber :
Utusan Borneo