SEBERANG PERAI – Kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik berhubung dakwaan Malaysia menyerahkan kira-kira 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya menafikan laporan media berhubung dakwaan tersebut dan akan memperjelaskan perkara yang tidak tepat.
“Tidak betul, kita akan berunding dengan baik, beri penjelasan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinan 2026 di Permatang Pauh di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, dakwaan berhubung perkata tersebut adalah tidak tepat selain penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia dibuat tanpa berlandaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
Katanya, rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan isu sempadan tertunggak dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.
Pada 22 Januari lalu, berita Detik melaporkan tiga perkampungan Indonesia di kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara kini berada dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Badan Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komisioner Jeneral Polis Makhruzi Rahman dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Jakarta Pusat.
Beliau berkata, tiga ‘Outstanding Boundary Problem’ (OBP) atau isu sempadan telah dipersetujui secara rasmi melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025. -KOSMO! ONLINE