Bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Ke-2 ditemui dalam kebun
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad - Januari 24, 2026 @ 6:42am
Anggota Unit Persenjataan IPK Melaka bersama pasukan IPD Jasin memeriksa bom yang ditemui di Jasin, semalam. - Foto ihsan IPD Jasin
JASIN: Sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua, ditemui dalam sebuah kebun di FELDA Bukit Senggeh, Nyalas di sini, semalam.
Bom itu dijumpai seorang pekebun berusia 53 tahun ketika menanam semula pokok kelapa sawit sekitar jam 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, berkata pengadu ternampak objek menyerupai bom ketika menanam anak pokok, sebelum membuat laporan di Balai Polis Nyalas.
"Hasil siasatan Unit Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kemudian mengesahkan objek itu adalah bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) jenis Aerial Bomb.
"Bom itu seberat 500 paun dengan panjang 101.6 sentimeter serta ukur lilit 66.04 sentimeter, selain didapati masih aktif dan berkarat," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, operasi persiapan dimulakan pada jam 2.45 petang di lokasi sebelum bahan letupan itu dimusnahkan sepenuhnya pada jam 6 petang.
Lee turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran serta mengganggu ketenteraman awam.
|