Edited by FOTHER-MUCKER at 7-2-2026 03:17 AM
Sebulan beroperasi, Rembayung terima lebih 16,000 pelanggan Khairul Aming bersyukur dengan sambutan pelanggan terhadap restoran Rembayung sepanjang sebulan beroperasi.
KUALA LUMPUR: Genap sebulan beroperasi, restoran berkonsepkan masakan Melayu, Rembayung milik pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mencatatkan kehadiran seramai 16,113 pelanggan.
Perkara itu dikongsikan Khairul menerusi hantaran di Threads, semalam, sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan yang sudah berkunjung ke restoran yang terletak di Kampung Baru, di sini.
Hari ini (semalam) genap sebulan Rembayung dibuka. Terima kasih kepada 16,113 pelanggan yang datang menjamu selera sepanjang tempoh sebulan ini.
Apabila mengenang kembali, perjalanan ini terasa seperti program realiti kerana pelbagai perkara berlaku di restoran," tulisnya. Khairul turut berharap setiap pelanggan yang hadir berpuas hati dengan hidangan serta perkhidmatan yang disediakan.
Pada masa sama, pempengaruh berusia 33 tahun itu memaklumkan pihaknya akan mengambil maklum setiap komen dan maklum balas pelanggan bagi tujuan penambahbaikan operasi restoran.
"Secara keseluruhannya, saya berharap semua pelanggan gembira dengan pengalaman mereka pada bulan pertama Rembayung. "Saya memohon maaf atas sebarang kekurangan dan setiap maklum balas akan diambil kira untuk penambahbaikan berterusan. Terima kasih semua," katanya.
Sebelum ini, Khairul mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, menerusi media sosial, iaitu projek yang diusahakannya sejak setahun lalu dengan kos mencecah RM4 juta.
Restoran Rembayung dibina di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru dan terletak kira-kira sembilan minit dari pusat beli-belah KLCC atau Menara Berkembar PETRONAS.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2026/02/1506617/sebulan-beroperasi-rembayung-terima-lebih-16000-pelanggan
|