Isu kebocoran gas di SK Tudan, tunggu laporan pakar: Lee
Februari 7, 2026, Sabtu - 5:06pm
Lee bercakap kepada pemberita di Miri, hari ini.
MIRI: Semua agensi berkaitan telah digerakkan segera bagi menyiasat kejadian pelepasan gas mudah terbakar di tapak pembinaan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di sini, dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan pelajar, guru dan penduduk sekitar.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan analisis terperinci bagi mengenal pasti jenis gas berkenaan sama ada beracun atau sebaliknya, manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan menilai keadaan geologi kawasan tersebut.
Beliau berkata, tindakan segera itu diambil selepas Petroliam Nasional Sarawak (PETROS) mengesahkan bahawa pelepasan gas itu adalah dari takungan semula jadi bawah tanah dan bukan kebocoran dari saluran paip gas.
Manakala Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak malam tadi mengesahkan gas asli tersebut pada paras berbahaya yang berpotensi mencetuskan kebakaran atau letupan.
Lee berkata, Pejabat Residen dan Daerah Miri sudahpun membuat koordinasi dengan semua agensi berkenaan untuk bermesyuarat dan berbincang sebelum mengemukakan sebarang keputusan dan syor yang perlu diambil.
“Setakat ini, kita tidak akan buat apa-apa spekulasi. Kita tunggulah (mesyuarat). Nanti mereka sudah buat syor, barulah kita buat keputusan.
“Jadi, setakat ini kita tunggu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ketika ditanya jika terdapat kemungkinan tempat terbabit adalah takungan gas asli, Lee berkata perkara itu masih belum dapat disahkan, sehingga kajian terperinci dilakukan oleh pihak terbabit.
“Sebab itu kita kena tunggu kajian oleh semua agensi yang berkenaan dan hasil daripada kajian tersebut. Kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Mengenai sama ada terdapat keperluan untuk memindahkan sekolah tersebut (SK Tudan), Lee berkata perkara itu juga akan diserahkan kepada pihak pakar dan agensi berkaitan, sebelum sebarang kata putus diambil.
“Nanti saya akan hubungi Pejabat Residen kerana hari ini mereka juga akan membuat perbincangan berhubung dengan perkara ini,” katanya sambil berkata, pihaknya bernasib baik kerana hari ini adalah Sabtu dan esok Ahad, sekolah akan ditutup.
Justeru, beliau berharap dapat menerima kata putus agensi berkaitan seberapa segera, sebelum sekolah bermula Isnin ini.
“Keutamaan kita ialah keselamatan. Buat masa ini, tapak terlibat hanyalah kawasan pembinaan kantin.
“Sekolah ditutup sementara mengikut nasihat bomba dan kita akan menunggu hasil perbincangan lanjut bersama Pejabat Residen,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan siasatan akan disegerakan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil tanpa menjejaskan keselamatan pelajar.
Mengulas lanjut, Lee berkata, kejadian itu dikesan tengah hari semalam selepas kerja-kerja cerucuk dijalankan oleh kontraktor, sebelum gas keluar secara tiba-tiba dari dalam tanah.
Beliau berkata , hasil siasatan awal mendapati dua cerucuk dipasang pada kedalaman masing-masing 33.6 meter dan 33.9 meter sebelum gas terbabit dilepaskan.
“Pihak kontraktor segera memaklumkan kejadian itu kepada JBPM yang kemudiannya mengambil sampel gas di lokasi. Ujian awal mengesahkan gas berkenaan bersifat mudah terbakar dan mudah menyala,” katanya lagi,
Beliau memberitahu siasatan turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Residen dan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta PETROS.
Sumber :
Utusan Borneo