Arau: "Syukur Alhamdulillah. Selepas kisah anak saya disiarkan di akhbar ini semalam, ramai yang menghulurkan sumbangan kerana kasihan melihat keadaannya.
Sumbangan itu saya akan guna untuk beli susu khas dan lampin pakai buang Muhammad Adam," kata Nor Hashila Abu Bakar, 37.
Nor Hashila adalah ibu kepada Muhammad Adam Darwish Ashry Efendi, 13, yang terlantar atas katil selepas mengalami kecederaan di kepala akibat terbabit dalam kemalangan di Kampung Paloh di sini Julai tahun lalu.
Kesan kemalangan itu menyebabkan Muhammad Adam Darwish yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pauh itu tidak dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.
Menurut Nor Hashila, wang sumbangan orang ramai yang disalurkan menerusi akaun bank miliknya itu akan digunakan untuk mereka sekeluarga.
"Saya ibu tunggal dan mempunyai tiga anak termasuk Muhammad Adam manakala anak sulungnya, Muhammad Faris Danish, 17, pula orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan yang bongsu, Muhammad Ariq Naufal, 20 bulan pula masih kecil.
"Sejak kejadian menimpa Muhammad Adam, saya tidak lagi berniaga goreng pisang kerana memberi tumpuan sepenuhnya menjaga anak saya dan sumbangan yang diterima ini sungguh bermakna.
"Rakyat Malaysia sangat prihatin dan syukur dengan apa yang saya dapat, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Nor Hashila turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi dan menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur untuk anaknya itu.
Media semalam melaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun hanya mampu memberi isyarat mata jika namanya dipanggil selepas cedera di kepala akibat kemalangan jalan raya, Julai tahun lalu.