Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1052575   
Edited by Vellfire at 8-3-2026 01:39 PM



Abdul Karim (tengah) bercakap pada sidang media di Kuching, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Sarawak dan Sabah mencadangkan agar bidang pelancongan dipindahkan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama bagi membolehkan pengurusan sektor tersebut dikongsi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, ketika MA63 dimeterai, pelancongan tidak dianggap sebagai sektor penting dan tidak dimasukkan secara khusus dalam pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Namun katanya pada tahun 1994, Kerajaan Persekutuan telah meminda Perlembagaan dan meletakkan pelancongan di bawah Senarai Persekutuan tanpa mendapatkan persetujuan negeri.

“Sarawak dan Sabah tidak berhasrat mengambil alih sepenuhnya bidang pelancongan, sebaliknya mahu ia dikongsi bersama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Oleh sebab itu, kami mencadangkan supaya pelancongan dipindahkan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama agar bidang tersebut boleh dikendalikan bersama oleh kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai hasil daripada mesyuarat tersebut yang berkaitan dengan bidang pelancongan pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu sebelum sidang media itu, Abdul Karim hadir melancarkan acara ‘Call for Proposals’ bagi Festival WAK 2026 diikuti dengan satu lagi sidang media mengenai Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai Dayak STF 2026.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Abdul Karim berkata kerajaan persekutuan masih meneliti perkara itu dan butiran lanjut tidak dapat didedahkan kerana mesyuarat tersebut adalah tertutup.

Namun katanya, beliau berharap perkara itu dapat dipersetujui dan pelancongan diletakkan di bawah Senarai Bersama seperti yang dihasratkan Sarawak dan Sabah.
Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, pilihan terakhir katanya ialah membawa isu ini ke mahkamah dan beliau yakin jika dibawa ke mahkamah, keputusan mahkamah kemungkinan akan meletakkannya di bawah Senarai Negeri.

Mengenai agihan kutipan cukai pelancongan daripada kerajaan Persekutuan kepada Sarawak, Abdul Karim berharap Sarawak akan memperoleh bahagian yang besar.

“Saya tidak pasti apakah formula yang digunakan, tetapi saya percaya memang ada formula tertentu untuk menentukan bagaimana jumlah yang perlu diagihkan atau dikembalikan kepada negeri.

“Jika jumlah pelancong meningkat atau jumlah kutipan cukai yang diperoleh daripada sektor hotel dan hospitaliti bertambah, sebahagian daripadanya boleh disalurkan kembali kepada negeri,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
82 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch