Edited by Vellfire at 8-3-2026 01:45 PM
Abang Johari menyampaikan Sumbangsih Raya kepada wakil agensi keselamatan dan penguatkuasaan semasa majlis di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini. Turut kelihatan, Fatimah (kiri). - Gambar UKAS
KUCHING: Berita yang dinanti-nantikan rakyat Sarawak akhirnya tiba apabila Kerajaan Sarawak mengumumkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan disalurkan kepada penerima yang layak sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyaluran SKAS pada bulan Ramadan ini memberi peluang kepada rakyat membeli barangan keperluan harian dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Penerima yang layak boleh membuat semakan melalui aplikasi SarawakPay (S Pay Global) bagi mengetahui sama ada bantuan tersebut telah dikreditkan oleh kerajaan negeri.
“Pelancaran ini dibuat dalam bulan Ramadan supaya rakyat Sarawak dapat menggunakan bantuan ini untuk membeli barangan keperluan asas, khususnya menjelang Hari Raya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2026 di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Turut hadiri ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Menurutnya, SKAS bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu usaha memastikan setiap keluarga di Sarawak mampu menyediakan keperluan asas di rumah.
Abang Johari menyampaikan Sumbangsih Raya kepada wakil agensi keselamatan dan penguatkuasaan semasa majlis di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini. Turut kelihatan, Fatimah (kiri). - Gambar UKAS
“Usaha ini adalah untuk memastikan dapur rakyat sentiasa berasap. Kita mahu rakyat Sarawak dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya sambil menambah, Kerajaan Sarawak turut meningkatkan kadar bantuan SKAS tahun ini sebagai langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November tahun lalu, Abang Johari semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 berkata, Kerajaan Sarawak akan meningkatkan kadar bantuan bagi SKAS yang akan dibayar setiap empat bulan pada 2026.
Katanya, dengan peningkatan itu, kerajaan memperuntukkan RM640 juta di bawah Belanjawan 2026 dan dijangka lebih satu juta penerima akan mendapat manfaat.
“Kadar bantuan baharu yang akan disalurkan setiap empat bulan adalah seperti berikut: Isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah dinaikkan RM150, daripada RM800 kepada RM950 dengan setiap pembayaran akan berjumlah RM316.
“Warga emas yang tidak mempunyai pasangan atau anak, berpendapatan RM5,000 dan ke bawah dinaikkan RM100, daripada RM400 kepada RM500 dengan setiap pembayaran akan berjumlah RM166.
“Manakala individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, dinaikkan RM50, daripada RM250 kepada RM300 dengan setiap pembayaran akan berjumlah RM100,” katanya pada persidangan DUN tersebut.
Sementara itu, pada tahun 2025, SKAS berjaya dilaksanakan dengan pemberian sokongan tahunan antara RM250 dan RM800 kepada rakyat Sarawak yang layak, melalui peruntukan RM557 juta, memanfaatkan lebih 1.03 juta penerima.
Pelaksanaan SKAS dilihat sebagai antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, selain memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati kemakmuran negeri ini, khususnya ketika menyambut perayaan.
Sumber : Utusan Borneo