Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1051615   


Dr Ruziana ketika ditemui pemberita semasa Program Ramadan 'Satu Juadah, Seribu Keberkatan' hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Penghidap Virus Kurang Daya Tahan Penyakit Manusia (HIV) yang menjalani rawatan secara konsisten mampu menjalani kehidupan normal seperti orang lain dan wajar diberikan peluang pekerjaan tanpa diskriminasi.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) Dr Ruziana Miss sambil menambah stigma masyarakat terhadap pesakit HIV masih wujud, walaupun penyakit tersebut kini boleh dikawal melalui rawatan moden.

Bagaimanapun katanya, ramai pesakit HIV masih dipandang serong sehingga ada yang sukar mendapat pekerjaan kerana masyarakat bimbang untuk bekerja, makan atau bergaul bersama mereka.

“Hakikatnya, dengan perkembangan perubatan hari ini, pesakit HIV boleh hidup seperti orang lain jika mereka mendapatkan rawatan dan mengambil ubat secara konsisten.

“Virus dalam badan boleh dikawal, jadi masyarakat tidak perlu takut untuk menerima mereka bekerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramadan 'Satu Juadah, Seribu Keberkatan' yang dianjurkan oleh Malaysian AIDS Foundation (MAF) dengan kerjasama TKTN di sini, hari ini.

Program tersebut melibatkan lawatan ke rumah penerima bantuan serta penyampaian bakul makanan dan juadah berbuka puasa kepada keluarga terjejas akibat HIV di sekitar Kuching.

Turut hadir ke kediaman salah seorang pengidap HIV di sekitar kawasan Batu Kawa, di sini ialah Pengarah Eksekutif MAF Jasmin Jalil, Penaung Borneo MAF Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu serta wakil rakan kerjasama termasuk Sunway Group.

Sebanyak empat lagi keluarga penerima di bawah Sarawak Health Access Programme (SHAPE) menerima bantuan barangan keperluan asas yang sama bernilai kira-kira RM250 bagi setiap rumah sempena Ramadan ini.

Menurut Dr Ruziana lagi, selain bantuan makanan pihaknya turut menyediakan subsidi pengangkutan kepada pesakit HIV bagi memastikan mereka dapat hadir ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ramai penerima bantuan menghadapi kesukaran untuk ke klinik kerana tiada kenderaan atau kekangan kewangan. Jadi kami menyediakan subsidi tambang mengikut jarak rumah mereka ke klinik kesihatan,” tambahnya.

Beliau berkata bantuan tersebut bermula sekitar RM30-RM40 bagi jarak dekat dan boleh meningkat bagi pesakit yang tinggal sehingga 200 kilometer dari pusat rawatan.

Tambahnya, jika pesakit tinggal berhampiran pasukan sukarelawan akan membantu menghantar mereka ke klinik, manakala bagi pesakit yang tinggal lebih jauh kos perjalanan menggunakan perkhidmatan e-hailing akan diganti mengikut kelayakan jarak.

Ujarnya, program yang bermula sejak 2017 itu kini berjaya membantu sekitar 500 penerima di seluruh Sarawak.

Sementara itu, Jasmin berkata kelangsungan program kebajikan tersebut bergantung kepada sumbangan pelbagai pihak termasuk PETRONAS, CIMB, Majlis Agama Islam serta sokongan kerajaan negeri.

“Matlamat kami ialah memastikan golongan ini tidak tercicir daripada mendapatkan rawatan. Walaupun mereka berdepan stigma masyarakat, akses kepada rawatan adalah hak yang perlu dipastikan,” katanya.

Selain lawatan ke rumah penerima, pasukan MAF dan TKTN turut mengagihkan juadah berbuka puasa kepada hospital, klinik dan pertubuhan bukan kerajaan di sekitar Kuching.

Program berkenaan diakhiri dengan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan komuniti, rakan kerjasama dan sukarelawan sebagai simbol solidariti serta sokongan kepada komuniti yang terjejas akibat HIV.


Sumber : Utusan Borneo
105 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch