Borneo
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

Vellfire Lv.24

Fav
Super Moderator | Credits 1052575   


Dr Rundi berucap semasa lawatan kerja ke Ecofarm Solutions Sdn Bhd di Kampung Panchor, Serian hari ini. - Gambar Kong Jun Liung

SERIAN: Sarawak kini diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen Zon C2 (perikanan laut dalam) susulan penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor itu masih belum berkembang berikutan kekurangan kapal serta pengendali yang berkeupayaan.

“Walaupun setakat ini kerajaan negeri telah mengeluarkan dua lesen, syarikat terlibat masih belum memulakan operasi.

“Kita telah keluarkan dua lesen setakat ini, namun dari segi operasi mereka masih belum benar-benar meneruskannya disebabkan isu kapal,” katanya semasa lawatan kerja ke Ecofarm Solutions Sdn Bhd di Kampung Panchor di sini, hari ini.

Dr Rundi menjelaskan syarikat tidak boleh membeli kapal penangkap ikan dari negara seperti Vietnam, Thailand atau China atas faktor keselamatan, sekali gus memerlukan mereka membina sendiri kapal tersebut atau mendapatkannya dari sumber lain.

Beliau turut menyatakan kebanyakan syarikat perikanan sedia ada di Sarawak adalah berskala kecil dan mungkin tidak mempunyai kapasiti untuk menjalankan operasi laut dalam.

Pada masa ini, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) merupakan antara entiti yang berpotensi untuk melaksanakan usaha berskala besar seperti itu.

“Buat masa ini, komuniti nelayan masih menggunakan kaedah tradisional biasa. Kita sedang melihat bagaimana untuk memajukan semua kapal perikanan ini dan sebagainya,” katanya.

Sarawak mempunyai hampir 1,000 kilometer garis pantai dengan potensi perikanan yang besar tetapi masih belum diterokai sepenuhnya, kata Dr Rundi, sambil menegaskan pengendali asing yang memiliki kapal canggih tidak seharusnya dibenarkan mengeksploitasi sumber negeri.

“Kerajaan negeri perlu berhati-hati, terutamanya apabila berurusan dengan pengendali perikanan asing yang mempunyai keupayaan maju termasuk kapal yang boleh memproses ikan sepenuhnya di atas kapal.

“Kita tidak boleh membenarkan pihak luar datang menuai hasil ikan kita di sini,” katanya.

Dr Rundi turut mendedahkan rancangan untuk menubuhkan sebuah jabatan perikanan baharu bagi memperkukuh kawal selia serta menyokong pembangunan industri tersebut.

“Kerangka peraturan di bawah ordinan perikanan berkaitan akan diumumkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan datang.

“Jabatan baharu ini akan membantu meningkatkan kawal selia aktiviti penangkapan ikan, pendaratan hasil laut serta pembangunan industri,” katanya.

Beliau menambah walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen C2, pembangunan sektor itu akan terus terhad tanpa kapasiti yang mencukupi.

“Tidak kira berapa banyak lesen kita keluarkan, jika mereka tidak turun ke laut, keadaannya tetap sama,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap dapat mempercepat pembangunan industri perikanan selepas kerangka peraturan baharu serta pengaturan institusi dilaksanakan.


Sumber : Utusan Borneo
114 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch