CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 121|Reply: 0

[Sarawak] Rabies: Sarawak mulakan penggunaan umpan ORV untuk anjing berkeliaran

[Copy link]
Post time 10-4-2026 10:35 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 10-4-2026 10:37 PM



Dr Vos menyampaikan taklimat ORV semasa program tersebut. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak telah memulakan penggunaan umpan vaksin rabies oral (ORV) untuk anjing berkeliaran sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan langkah kawalan rabies di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Nicholas Jenek berkata, pendekatan itu melibatkan pemberian umpan vaksin yang boleh dimakan kepada anjing yang sukar ditangkap atau dikendalikan.

“Untuk hari ini, kita menjalankan percubaan kerana ini adalah konsep yang agak baharu bagi kita. Biasanya kita menggunakan apa yang dipanggil vaksinasi parenteral iaitu melalui suntikan.

“Tetapi hari ini kita mencuba vaksin rabies oral di mana kita meletakkan umpan di jalan dan membiarkan anjing mengambilnya,” katanya kepada pemberita semasa Program Taklimat dan Latihan ORV yang diadakan berhampiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini, hari ini.

Dr Nicholas menambah anjing yang memakan umpan tersebut akan membina antibodi yang mencukupi selepas kira-kira satu bulan dan menyasarkan anjing yang sukar ditangkap, terutamanya yang berkeliaran bebas.

“Ini kebanyakannya untuk anjing yang kita tidak dapat tangkap yang sentiasa berkeliaran bebas atau haiwan yang bahkan pemiliknya sendiri tidak dapat mengendalikan,” jelasnya.



Gambar menunjukkan umpan vaksin rabies oral. – Gambar Chimon Upon

Beliau menegaskan vaksin oral ini melengkapkan dan bukannya menggantikan vaksinasi suntikan konvensional.

“Kaedah utama masih vaksinasi parenteral. Tetapi ini membantu kita mencapai anjing yang tidak dapat kita dekati,” katanya sambil menambah pihak berkuasa menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus populasi anjing divaksin untuk mengawal rabies dengan berkesan.

Kerajaan telah memperolehi kira-kira 5,000 unit umpan ORV untuk program berkenaan dan kini disimpan di Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di bawah keadaan rantaian sejuk yang ketat.

“Umpan ini mesti disimpan dalam persekitaran rantaian sejuk seperti vaksin lain. Itulah sebabnya ia disimpan di SIDC dan diangkut menggunakan kotak penyejuk,” jelasnya.

Beliau berkata, latihan vaksinasi akan diteruskan sepanjang bulan ini selepas percubaan hari ini.

“Untuk keseluruhan program, kita mempunyai kira-kira 5,000 umpan. Bermula esok hingga penghujung bulan ini aktiviti ini akan diteruskan,” ujarnya lagi.

Program bermula pada jam 6.45 pagi dengan ketibaan peserta dan tetamu diikuti ucapan aluan oleh Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) Datin Sri Dona Drury Wee dan ucapan pembukaan oleh Dr Nicholas.

Taklimat program ORV disampaikan oleh Dr Ad Vos dari Ceva Santé Animale sebelum para peserta menjalani sesi latihan praktikal di kawasan sekitar bagi menunjukkan cara pengagihan umpan vaksin.

Kira-kira 80 peserta mengambil bahagian dalam program berkenaan termasuk wakil daripada Pasukan Penguatkuasaan Immune Belt (IBET), SIDC, DVSS, SSPCA, MPP dan sukarelawan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata pendekatan vaksinasi oral berkenaan adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk pencegahan rabies di Sarawak.

“Kali ini, kita sedang menguji makanan anjing berasaskan telur yang enak mengandungi vaksin rabies, yang akan kita berikan kepada haiwan,” katanya.

Beliau menambah inisiatif tersebut turut mendapat sokongan pihak SIDC dan diterajui oleh SSPCA dengan bantuan rakan antarabangsa termasuk Worldwide Veterinary Service (WVS) dan Ceva Santé Animale, berpotensi membantu mencapai anjing berkeliaran bebas serta haiwan di kawasan di mana kaedah vaksinasi konvensional sukar dilaksanakan.



Dr Vos memerhati seekor anjing yang berkeliaran bebas ketika ia menghampiri dan menghidu umpan ORV yang diletakkan di atas jalan. – Gambar Chimon Upon


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2026 08:39 PM GMT+8 , Processed in 0.977015 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list