Zainul Rijal sokong larangan rumah terbuka Aidilfitri di tokong
09 April 2026 03:07pm

Zainul Rijal
SHAH ALAM - Tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang melarang sebuah persatuan tokong daripada menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri adalah tepat.
Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana penganjuran majlis berkaitan agama Islam oleh persatuan agama bukan Islam disifatkan sebagai sesuatu yang pelik dan tidak sesuai.
"Tahniah kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Mufti Pulau Pinang yang melarang program tersebut.
Walaupun tiada ibadah Islam akan dilakukan di dalam program tersebut ia masih tidak sesuai dianjurkan bukan Islam di tempat sebegitu.
"Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam perkarangan rumah anutan bukan Islam," katanya.
JHEAIPP sebelum ini mengeluarkan surat larangan kepada Persatuan Tokong Thean Hock Keong dengan menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri adalah aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Susulan itu, setiausaha persatuan tersebut, Ng Choong Seong menyatakan rasa kecewa atas pembatalan berkenaan memandangkan pihaknya telah merancang rapi termasuk menyediakan makanan halal dan berunding dengan pemimpin masjid tempatan bagi memupuk perpaduan komuniti.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, keharmonian tidak seharusnya menjadi tiket untuk mana-mana pihak bertindak sesuka hati.
"Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami. Hormatilah sensitiviti itu.
Jangan normalisasi program sebegini walaupun atas nama harmoni," katanya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa larangan terhadap Persatuan Tokong Thean Hock Keong tersebut dibuat bagi menjaga sensitiviti serta mengelakkan kekeliruan akidah dalam kalangan umat Islam.
Beliau berkata, keputusan itu berasaskan prinsip syariah Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kemudaratan) bagi mengelakkan salah faham masyarakat awam mengenai batas interaksi antara agama.
https://www.sinarharian.com.my/article/775020/berita/semasa/zainul-rijal-sokong-larangan-rumah-terbuka-aidilfitri-di-tokong
|