Utara
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

sfhzuraz Lv.22

Fav
Moderator | Credits 1757306   
Krisis global: Kerajaan perlu perancangan jelas, rapi ringankan beban rakyat - Muhyiddin

Oleh M Hifzuddin Ikhsan - April 11, 2026 @ 8:50am





Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka DUN Kubang Rotan, malam tadi. - NSTP/WAN NABIL NASIR



ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan perlu membuat perancangan rapi dalam menentukan hala tuju Malaysia sekiranya krisis global yang memberi impak terhadap ekonomi negara berlarutan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengalaman pentadbiran beliau ketika berdepan krisis COVID-19 sebelum ini boleh dijadikan contoh di mana kerajaan pimpinannya ketika itu melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani kesan global.

Beliau berkata, perkara utama dilakukan ketika itu ialah memastikan rakyat tidak berasa terbeban serta mempunyai cukup makanan untuk disediakan kepada keluarga masing-masing, walaupun dalam keadaan terkawal.

"Menjadi perkara utama untuk Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat mempunyai makanan di atas meja.

Ini sebagaimana saya lakukan ketika kita berdepan COVID-19 beberapa tahun lalu.

"Ketika itu, kita memastikan rakyat tidak kebulur... mesti memastikan makanan dapat disalurkan dalam bentuk bantuan, apa lagi pada waktu semuanya dalam keadaan agak tertutup, dan tindakan diambil bagi meringankan beban rakyat.

"Apakah langkah seperti itu perlu diambil sekarang?

Saya fikir kerajaan harus memberikan pertimbangan yang jelas dan tegas dalam bergerak ke depan, khususnya ketika negara dirundung masalah akibat kesan ekonomi global, agar ia tidak menjadi bencana buruk kepada negara," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di sini, malam tadi.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Salleh Saidin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, semua pihak harus menyedari situasi negara secara umum tidak baik dan Kerajaan Persekutuan berdepan cabaran besar apabila berlaku pergolakan di Asia Barat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, konflik berkenaan menyebabkan berlaku krisis global yang membawa kepada kenaikan harga minyak serta kesan terhadap kehidupan rakyat negara ini.

"Soal pokok yang berbangkit ialah pertanyaan kepada kerajaan: apa boleh dilakukan bagi menentukan krisis sedang melanda negara dan antarabangsa itu dapat kita tangani.

"Perkara ini perlu diuruskan secara baik kerana ia akan menyentuh kumpulan masyarakat yang terasa tekanan hidup lebih sukar susulan kenaikan harga minyak serta kesan terhadap sektor perniagaan kecil dan sederhana, pertanian serta pelancongan.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab khususnya Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah ini, malah saya pernah bersuara bahawa ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Persekutuan memberikan jawapan cepat dan pantas dalam melaksanakan usaha bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terkesan.

"Saya pernah bersuara bahawa usaha menangani krisis seperti ini tidak boleh dilakukan sambil lewa atau bertindak atas masa tertentu kerana apabila kita berdepan krisis, kita perlu mengambil kira apa saja boleh berlaku.

"Yang penting ialah kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dibuat secara rapat serta saling membantu supaya situasi dialami negara dapat ditangani dan kesannya tidak terkena secara purata kepada rakyat, terutama mereka di luar bandar," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/04/1532186/krisis-global-kerajaan-perlu-perancangan-jelas-rapi-ringankan-beban








139 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch