Abang Johari bersama yang lain menyaksikan penyerahan dividen sejumlah RM 28,785,150 daripada BPHB bagi tahun 2025 kepada Kerajaan Sarawak pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di Kuching, malam Selasa.-Gambar Chimon Upon
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan bantuan khas bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup susulan krisis di Asia Barat pada Khamis ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu diambil bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga barangan dan bahan api di peringkat global.
“Kerajaan Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal komited melaksanakan dasar serta inisiatif bagi mengurangkan impak kenaikan kos, khususnya kepada golongan rentan.
“Insya-Allah, pada Khamis ini saya akan mengumumkan apa yang ingin saya berikan kepada rakyat Sarawak mengenai kos sara hidup ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di sebuah hotel di sini, malam Selasa.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merangkap Pengerusi BPHB.
Abang Johari bersama yang lain menyaksikan penyerahan MoU antara BPHB dengan Brooke Holding Sdn. Bhd pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di Kuching, malam Selasa.-Gambar Chimon Upon
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan Sarawak telah mengambil pendekatan proaktif dan berorientasikan masa depan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Ini jelas dillihat menerusi usaha kita sedang mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai gas bukan sahaja sebagai pengeksport, tetapi juga sebagai pemproses dan pencipta nilai,” katanya.
Menurutnya, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang dilaksanakan memastikan sumber negeri ini dimanfaatkan secara strategik bagi menjana nilai ekonomi jangka panjang terutama sebagai pengeluar metanol dengan sumber gas ini diperluaskan melalui aktiviti hiliran.
Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak juga mempercepatkan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih seperti hidrogen, hidro serta sumber tenaga hijau lain bagi menjamin keselamatan tenaga.
“Malah, kita komited memastikan manfaat sumber negeri diterjemahkan kepada sokongan nyata kepada rakyat melalui dasar dan inisiatif yang membantu mengurangkan tekanan kos, khususnya kepada golongan rentan.
“Ini termasuk bantuan bersasar, pembangunan infrastruktur dan program ekonomi bagi mengekalkan kemampuan sara hidup serta meningkatkan kualiti kehidupan.
“Pada masa sama, kita terus melabur dalam pertumbuhan industri, penciptaan pekerjaan dan peluang pendapatan agar rakyat bukan sahaja dilindungi daripada kejutan global, malah berupaya untuk terus maju,” jelas beliau
Dalam konteks itu, tambahnya, BPHB akan terus memainkan peranan penting sebagai aset strategik dalam memastikan Sarawak kekal berhubung, berdaya saing dan berdaya tahan berdepan ketidaktentuan global.
Pada majlis tersebut Abang Johari turut menyaksikan acara simbolik penyerahan dividen sejumlah RM 28,785,150 daripada BPHB bagi tahun 2025 kepada Kerajaan Sarawak.
Selain itu, beliau juga menyaksikan penyerahan kelulusan prinsip bagi Zon Komersial Bebas Pelabuhan Samalaju antara Kementerian Kewangan kepada BPHB.
Turut diadakan ialah penyerahan memorandum persefahaman antara BPHB dan Sarawak Petchem, Shanghai International Port Group (SIPG) serta Brooke Holding Sdn. Bhd.
Sumber : Utusan Borneo