Abang Johari menerima cenderamata daripada Mohamad Abu Bakar pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB. -Gambar Chimon Upon
KUCHING: Pelabuhan Bintulu diisytiharkan sebagai pelabuhan zon bebas bagi pelaburan dan pengembangan industri, sekali gus memperkukuh peranannya dalam ekosistem ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Pelabuhan Bintulu akan terus menjadi pusat penting dalam menyokong rantaian bekalan, menarik pelaburan serta menyokong aktiviti ekonomi hiliran.
Malahan beliau yakin dengan perkembangan berterusan industri di Samalaju dan kawasan sekitarnya, pelabuhan itu pastinya menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu serta pengembangan industri di kawasan berkenaan.
“Ini kerana zon bebas yang tersusun dengan baik bukan sekadar mengenai insentif, tetapi tentang mewujudkan ekosistem yang menggalakkan inovasi, kecekapan serta kehadiran industri jangka panjang.
“Oleh itu, saya menggalakkan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) untuk melaksanakan perkara ini dengan segera serta dengan tujuan yang jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di sini, malam Selasa.
Abang Johari diiringi Mohamad Abu Bakar serta yang lain pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di Kuching, malam Selasa.-Gambar Chimon Upon
Bagi meningkatkan lagi kecekapan industri, Abang Johari berkata, kerajaan sedang meneroka dimensi baharu dalam aspek keterhubungan.
“Ini termasuk cadangan untuk menghubungkan Pelabuhan Samalaju dan Pelabuhan Bintulu melalui rangkaian rel, dengan kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan ketika ini,” katanya.
Menurutnya, rangkain rel tersebut akan menghubungkan Bintulu, Kidurong dan Samalaju, yang sekali gus mewujudkan rangkaian tiga satelit bagi pergerakan barangan dan manusia dengan lebih pantas serta menggunakan teknologi hijau.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki memberitahu, BPHB kini memasuki fasa transformasi paling signifikan sejak penubuhannya, yang akan memberi impak besar terhadap hala tuju ekonomi Sarawak.
Sejak ditubuhkan pada 1996 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001, katanya, syarikat itu telah berkembang sebagai pengendali Pelabuhan Bintulu yang menjadi tunjang ekonomi Sarawak.
“Buktinya Pelabuhan Bintulu kini berfungsi sebagai pintu utama import dan eksport negeri, pelabuhan kontena terbesar di Malaysia Timur serta satu-satunya pintu eksport LNG negara, sekali gus menjadikannya antara terminal LNG terbesar di dunia.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan operasi, tetapi juga kepentingan strategik pelabuhan kepada negeri dan negara,” katanya yang juga Pengerusi BPHB
Pada tahun 2025 sahaja, Mohamad Abu Bakar berkata, Pelabuhan Bintulu mencatat 52 juta tan kargo, 313,000 unit setara dua puluh kaki (TEU) pengendalian kontena serta lebih 7,600 panggilan kapal selain mengendalikan lebih 80 peratus daripada keseluruhan import dan eksport Sarawak.
"Daripada gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan kayu balak kepada kargo industri berat serta bahan mentah, pelabuhan ini kekal sebagai nadi utama dalam ekosistem ekonomi Sarawak,” ujarnya.
Selain Pelabuhan Bintulu, tambahnya kumpulan itu turut berkembang melalui Pelabuhan Perindustrian Samalaju yang beroperasi sejak April 2014 dan menjadi platform logistik penting kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)
“Untuk makluman, Pelabuhan Industri Samalaju bakal menjadi pelabuhan Zon Bebas sepenuhnya pertama di Sarawak selepas mendapat kelulusan prinsip Kementerian Kewangan, dengan cadangan peluasan turut dirancang ke Pelabuhan Bintulu bagi membentuk koridor industri yang lebih kompetitif,” jelas beliau lagi.
Sumber : Utusan Borneo