Utara
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
ADVERTISEMENT

sfhzuraz Lv.22

Fav
Moderator | Credits 1754888   
Masyarakat berperanan jadi mata, telinga SPRM

BERNAMA




FOTO Ihsan Polis Langkawi



Alor Setar: Penekanan terhadap aspek pencegahan serta kesedaran awam perlu diperkukuh selain pendekatan penguatkuasaan di kawasan berisiko aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan, penyalahgunaan kemudahan bebas cukai dan isu berkaitan percukaian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Junipah Wandi berkata peranan masyarakat sebagai mata dan telinga kepada SPRM bukan lagi pilihan, tetapi tanggungjawab bersama-sama dalam memastikan negara bebas daripada rasuah.

Beliau berkata isu seumpama itu mempunyai implikasi kepada keselamatan dan ekonomi negara yang bukan sahaja memberi kesan kepada kecekapan pentadbiran, malah menjejaskan keyakinan pelabur, imej negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

"Hakikatnya, setiap ruang kelemahan dalam sistem akan menjadi peluang kepada rasuah dan apabila peluang ini tidak ditutup, ia akan berkembang menjadi sindiket dan budaya yang akhirnya menjadi ancaman kepada negara.

"Sehubungan dengan itu, selain pendekatan penguatkuasaan, penekanan terhadap aspek pencegahan dan kesedaran awam perlu diperkukuh secara berterusan," katanya semasa merasmikan Pejabat SPRM Kedah Cawangan Langkawi, menerusi kenyataan dikeluarkan semalam.

Junipah berkata Langkawi bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga antara pintu masuk strategik negara yang melibatkan aliran keluar masuk manusia, barangan serta aktiviti ekonomi yang tinggi.

Kewujudan pejabat SPRM di Langkawi, menurut beliau bukan sekadar memenuhi keperluan operasi setempat, tetapi sebahagian daripada mekanisme nasional untuk memperkukuh integriti dalam sistem penguatkuasaan dan menutup ruang kebocoran yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

"Pengoperasian pejabat di lokasi baharu ini bukan sekadar melibatkan perubahan penempatan, tetapi langkah memperkukuh keupayaan organisasi untuk melaksanakan fungsi penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan secara lebih berkesan dan teratur," katanya.

Beliau berkata pejabat SPRM Langkawi diharapkan menjadi pusat tindakan yang lebih responsif yang bukan sekadar menerima maklumat, tetapi mampu mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan dengan lebih cepat serta berimpak.

Pejabat baharu SPRM Cawangan Langkawi terletak di Jalan Padang Matsirat, Kuah. Cawangan itu ditubuhkan pada 1 Dis 1993 dan beroperasi di Bangunan Tabung Haji sebelum berpindah ke Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 1996.



Disiarkan pada: April 19, 2026 @ 3:45pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/04/1347858/masyarakat-berperanan-jadi-mata-telinga-sprm




166 Views
0 Reply

No comments yet, click me grab the couch