Alor Setar: Lebih 100 penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di Hutan Kampung, di sini, mendakwa tidak tahan apabila sebuah kilang simen yang beroperasi tidak jauh dari situ menyebabkan pencemaran habuk debu sejak Disember tahun lalu.
Antara kawasan yang terjejas adalah Taman Mustika, Taman Cahaya, Kampung Masech dan kawasan sekitarnya.
Penduduk mendakwa, habuk debu yang tercemar itu turut menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengalami masalah kesihatan seperti pernafasan terutamanya kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif.
Selain itu, mereka terdedah dengan bunyi bising serta kerosakan struktur jalan sedia ada apabila lori muatan berat menggunakan jalan kampung untuk mengangkut barangan.
Penduduk, Faridah Taib, 56, berkata, pada mulanya dia masih mampu bertahan tetapi apabila habuk debu yang dibawa angin melalui kilang berkenaan semakin banyak di halaman rumahnya, dia sudah hilang rasa sabar.
"Bayangkan, baru letak kereta dua jam saja, habuk penuh pada kereta sehingga terpaksa mencuci kereta berkali-kali.
"Habuk debu itu boleh dilihat apabila mengelapnya dengan tisu terutama pada cermin tingkap dan pintu seluruh kereta.
"Kami terpaksa menutup pintu dan tingkap untuk mengelakkan habuk masuk secara terus ke dalam rumah.
Itu pun masuk juga sikit-sikit terutama di meja makan yang bercermin, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masech, di sini.
Faridah berkata, dia yang akan mengadakan majlis perkahwinan anaknya, Muhammad Sidqi Ruslim, 27, pada 4 Jun depan bimbang dengan masalah itu kerana habuk debu yang berterbangan akan menyebabkan tetamu tidak selesa.
Katanya, rumahnya terletak paling hampir dengan kilang itu hinggakan hendak sidai baju pun susah selain pokok tanaman di halaman rumah juga penuh debu.
"Kami dah hadap masalah ini lebih empat bulan hinggakan saya mengalami kemurungan kerana tidak selesa akibat masalah ini kerana terpaksa menyedut udara tidak sihat.
"Disebabkan itu, saya sudah menghantar aduan kepada pihak berkuasa yang berkaitan berhubung masalah itu dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera, " katanya.
Seorang lagi penduduk, Ruslim Mohd Salleh, 56, berkata, habuk debu dipercayai datang melalui udara dari kilang simen itu menyebabkan dia terpaksa menutup pintu rumah dan tingkap kerana bimbangkan kesihatan mereka sekeluarga.
Katanya, lebih ketara ketika cuaca panas berserta angin kencang menyebabkan debu makin banyak dan nampak ketara ia melekat pada kereta.
"Kalau nak jemur baju pun kadang-kadang reda sajalah.
Memang debu akan melekat pada pakaian yang dijemur.
"Kalau hujan, debu simen tu memang kurang tapi kalau panas memang banyak dan ditambah pula sekarabg ni musim panas," katanya.
Ruslim berkata, dia bimbang jika keadaan berlarutan, mungkin kesihatan penduduk akan terganggu.
Sementara itu, Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, aduan pertama kali diterima pihaknya melalui emel pada 6 Januari dan hasil semakan awal mendapati bahawa premis tidak berdaftar di dalam Simpas dan juga tidak tertakluk di bawah Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Beliau berkata, hasil siasatan di tapak sudah dilakukan oleh unit aduan dan hasil siasatan mendapati premis dalam proses mendapatkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) .
"Arahan lisan sudah diberikan kepada premis untuk meningkatkan kekerapan siraman air di jalan dan kawasan premis bagi mengurangkan pencemaran habuk dan debu.
"Lawatan pemeriksaan kedua pada 17 Mac lalu oleh pegawai-pegawai dari JAS kerana menerima aduan yang sama ke atas premis yang sama oleh penduduk setempat melalui surat yang telah dipanjangkan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan kepada jabatan ini.
"Hasil dari pemeriksaan itu mendapati aduan adalah berasas dan arahan lapangan sudah pun diberikan kepada pihak premis bagi meminimumkan pencemaran habuk dan debu dengan mengarahkan premis terbabit membuat 'washing bay' bagi laluan keluar masuk lori pengangkut premis berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, lawatan pemeriksaan ketiga dibuat oleh beliau bersama pegawainya ke premis atas aduan yang sama pada 8 April lalu.
Katanya, ketika itu tiada kelihatan habuk dan debu yang ketara dan jalan keluar masuk juga sudah disiram seperti arahan lapangan oleh pihaknya sebelum ini.
"Namun, arahan lapangan diberikan bagi pemeriksaan pada hari berkenaan kepada premis untuk meningkatkan kekerapan penyiraman bagi jalan keluar masuk premis dan lori pengangkut premis untuk mengelakkan habuk dan debu berterbangan.
"Selain itu, premis juga diarah untuk menurap kawasan jalan serta kawasan kerja mereka bagi mengurangkan potensi habuk berterbangan ( fugitive dust).
"JAS juga membuat pemasangan alat Grimm PM 2.5 di kawasan sekolah berhampiran premis untuk memantau dan mengershui bacaan kualiti udara ambien di sekitar kawasan premis, " katanya.
Sharifah Zakiah berkata, hasil pengawasan menggunakan alat Grimm selama 24 jam mendapati bacaan habuk PM 10 dan PM 2.5 adalah sederhana.