Alor Setar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah diminta memainkan peranan tegas sebagai benteng integriti dalam memastikan tadbir urus kerajaan negeri kekal telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam landskap pentadbiran moden, kerajaan tidak lagi boleh bergerak secara silo sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu membabitkan semua pihak termasuk wakil rakyat dan agensi penguat kuasa.
Katanya, pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 adalah langkah tepat dalam memastikan usaha memerangi rasuah secara sistematik, merangkumi aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.
"Peranan ADUN kini bukan sekadar menyampaikan aspirasi rakyat, tetapi memastikan setiap dasar difahami, dilaksanakan dengan berkesan serta dipantau secara telus di peringkat akar umbi.
"Ini kerana rakyat bukan sahaja pemberi mandat, tetapi turut berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang serta sumber maklumat awal terhadap salah laku termasuk rasuah dan penyelewengan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah Tahun 2026 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi turut mengingatkan, setiap peruntukan kerajaan perlu diurus dengan amanah, projek dilaksanakan secara telus dan setiap keputusan dibuat tanpa konflik kepentingan.
Beliau berkata, kejayaan strategi itu bergantung kepada komitmen berterusan semua pihak untuk menterjemahkannya kepada tindakan nyata, bukan sekadar dokumen dasar.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam soal integriti.
Sekali kepercayaan rakyat terjejas, kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi seluruh institusi pentadbiran negeri.
"Kerajaan negeri kekal komited memastikan setiap dasar dan inisiatif memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, dengan penekanan kepada ketelusan, kecekapan serta akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad dan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, rasuah tidak berlaku kerana ketiadaan undang-undang atau peraturan, sebaliknya berlaku apabila sistem tidak mempunyai keupayaan untuk mengawalnya secara berkesan dan tidak cukup telus untuk dipantau.
"Apabila kita melihat kepada isu ketirisan dalam pengurusan dana awam, kita perlu memahami bahawa ia bukan sekadar isu kewangan.
"Ia adalah refleksi kepada keseluruhan rantaian tadbir urus iaitu daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan di mana setiap peringkat mempunyai potensi menjadi titik kelemahan sekiranya tidak dikawal dengan baik," katanya.
Beliau berkata, berikutan itu apabila kelemahan berlaku secara berulang, ia tidak lagi menjadi kes terpencil tetapi menjadi pola yang kemudian membentuk norma yang akhirnya melemahkan sistem secara keseluruhan.