Kangar: Perikatan Nasional (PN) Perlis menafikan dakwaan bahawa wujudnya komplot usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang akan dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hubungan antara PAS dan BERSATU dalam pentadbiran kerajaan negeri kekal akrab, malah pucuk pimpinan PAS Pusat menetapkan pendirian untuk menyokong pentadbiran sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, jika PAS mahu melakukan perubahan pentadbiran, parti itu tidak perlu melalui usul undi tidak percaya memandangkan mereka sudah menguasai majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Semua ini adalah tahyul yang dicatatkan (dijaja) oleh pelbagai pihak.
Buktikan pada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya (ke atas Menteri Besar).
PAS Pusat sudah buat keputusan untuk menyokong kerajaan ini sehingga pilihan raya.
"Tidak perlu undi tidak percaya.
PAS yang majoriti, PAS boleh pergi beritahu (jika mahu ambil alih).
Tetapi itu bukan cara PAS. Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpesan kepada saya supaya wujudkan hubungan yang baik dan kita berpegang kepada ketetapan PAS Pusat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berkata demikian bagi mengulas polemik berhubung penangguhan sidang DUN Perlis baru-baru ini, yang mencetuskan khabar angin kononnya wujud ketegangan antara wakil rakyat PAS dan Menteri Besar daripada BERSATU itu.
Mengulas berkenaan tindakan enam wakil rakyat PAS yang tampil menuntut penjelasan berhubung isu penangguhan tersebut, Shahidan berkata, langkah itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bukannya mewakili pendirian rasmi parti.
"Saya tidak lihat sepenuhnya kenyataan enam wakil rakyat tersebut, tetapi mereka menuntut penjelasan sebagai wakil rakyat yang bertanya, bukan bagi pihak PAS.
"Kita menerima tindakan mereka sekadar ingin mendapatkan penjelasan atas kapasiti itu dan ia sama sekali bukan bertujuan untuk menimbulkan ketidakharmonian di dalam kerajaan PN," katanya yang juga Ahli Parlimen Arau.
Beliau juga percaya penangguhan sidang DUN berkenaan dibuat mengikut lunas undang-undang serta peraturan dan bukannya disebabkan menteri besar takut dengan undi tidak percaya.
Terdahulu, media melaporkan Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis menafikan penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini dibuat kerana beliau takut dijatuhkan.
Sebaliknya beliau berkata, keputusan menangguhkan persidangan itu bukan di bawah kuasa mutlak menteri besar, tetapi dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Susulan itu, enam wakil rakyat PAS diketuai ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli bersama ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan; ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil; ADUN Simpang Empat, Razali Saad; ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dan ADUN Beseri Haziq Asyraf Dun meminta penjelasan berhubung penangguhan yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.