Kumpulan Yayasan Sabah catat keuntungan tertinggi RM683 juta
Mei 7, 2026, Khamis - 10:32am
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencipta pencapaian bersejarah apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta bagi tahun 2025, meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah dalam memacu prestasi kewangan yang lebih cemerlang.
Katanya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) selaku cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah turut mencatat keuntungan sebelum cukai tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu RM243 juta berbanding RM179 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Sabah International Convention Centre, malam tadi.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ICSB turut mengisytiharkan dividen RM160 juta bagi tahun 2025, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, jumlah itu merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan selain mengekalkan kedudukan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang membayar dividen tertinggi selama lima tahun berturut-turut.
Beliau berkata, sektor agro-perladangan kekal menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan dengan keuntungan gabungan RM323 juta.
“Selain itu, sektor pelancongan dan riadah merekodkan keuntungan RM65 juta manakala sektor minyak, gas dan tenaga mencatat lonjakan ketara kepada RM40 juta berbanding hanya RM0.07 juta pada tahun 2024,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting sebagai jentera strategik kerajaan negeri melalui pelbagai program pendidikan, pembangunan modal insan, sosioekonomi, konservasi dan penyelidikan.
Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) memberi manfaat kepada 15,629 pelajar membabitkan dana RM25.1 juta.
“Sementara itu, usaha agresif kutipan pinjaman pada tahun 2025 mencecah RM8.03 juta, tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 613 program sosial dan pembangunan masyarakat turut dilaksanakan menerusi enam pejabat zon dengan kadar pencapaian 100 peratus yang memberi manfaat kepada 78,648 penerima melalui peruntukan RM4.26 juta.
Hajiji turut memuji perkembangan memberangsangkan University College Sabah Foundation (UCSF) yang kini mempunyai lebih 1,100 pelajar selain memperkenalkan kursus inovatif baharu bermula tahun ini.
Menurutnya, UCSF juga aktif menjalinkan kerjasama antarabangsa dengan universiti dari Brunei, Bosnia, Turki, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom.
Beliau berkata, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) turut menerima mandat RM1.2 juta daripada ICU Jabatan Perdana Menteri untuk melatih 460 peserta menerusi Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar pula, Hajiji berkata, Kumpulan Yayasan Sabah terus komited menjaga khazanah negeri termasuk melalui kerjasama dengan organisasi dari Denmark, Preferred by Nature bagi Pelan Pengurusan Strategik ketiga Kawasan Konservasi Lembangan Maliau.
Sempena ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah pada 10 Mei ini, beliau berharap institusi itu terus menjadi pelopor melahirkan modal insan berilmu, berintegriti dan berkemahiran tinggi selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Sumber :
Utusan Borneo