Edited by ultra78 at 10-5-2026 08:06 PM
Suami jarang balik rumah, isteri dicekup khalwat dengan lelaki lain
10 Mei 2026 03:16pm
Masa membaca: 2 minit
KULAI – Seorang wanita yang mempunyai masalah dengan suaminya dan tinggal berjauhan di negeri lain mengambil kesempatan curang apabila membawa seorang duda balik ke rumahnya di sini semalam.
Namun perbuatan berkenaan berjaya didedahkan selepas pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima aduan awam sebelum serbuan dilakukan.
Menurut JAINJ dalam satu kenyataan, serbuan dilakukan di sebuah rumah di pangsapuri tersebut pukul 9.30 pagi.
“Penguat kuasa ketuk pintu dan memanggil dengan kuat sambil memberi salam namun tidak dibuka. Pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita yang memakai baju kelawar.
“Setelah memperkenalkan diri, penguat kuasa masuk ke ruang tamu untuk pemeriksaan lanjut dan menemui seorang kanak-kanak sedang tidur atas toto sambil menghidap susu,” jelas JAINJ dalam kenyataan tersebut.
Wanita berkenaan memaklumkan kanak-kanak tersebut adalah anaknya hasil pernikahan dengan suaminya.
Kenyataan itu memberitahu, pemeriksaan dalam bilik pertama menemukan seorang lelaki sedang baring dengan memakai seluar panjang dan t-shirt.
“Apabila ditanya hubungan mereka berdua, wanita berkenaan menjawab lelaki itu saudaranya tetapi lelaki tidak menjawab apa-apa. Mereka kemudian mengaku bukan saudara dan hanya berdua-duaan serta tiada hubungan mahram.
Lelaki terbabit berumur 30-an, berstatus duda dan tidak bekerja manakala wanita pula berusia 30-an, berstatus isteri orang dan bekerja di Kulai.
“Mereka mengaku sudah berkenalan hampir setahun dan banyak berhubungan melalui WhatsApp. Lelaki ini dari Negeri Sembilan dan datang ke Kulai untuk mencari kerja.
“Suami kepada wanita ini berada dan bekerja di sebuah negeri lain dan jarang balik. Apabila ditanya berkenaan hubungannya, wanita cerita mereka ada krisis rumahtangga dengan suami tetapi belum bercerai,” ujar JAINJ lagi.
Tambah kenyataan itu, penguat kuasa menasihatkan wanita itu bertemu pihak kaunseling di pejabat kadi apabila berdepan masalah rumah tangga.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat. – MalaysiaGazette